SUNGAI PETANI: Seorang lelaki berusia lingkungan 30-an dikhuatiri lemas selepas terjatuh dalam sungai berhampiran Jeti Pasar Bisik, Kota Kuala Muda, di sini hari ini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Tikam Batu Muhamad Syukri Hashim berkata pihaknya menerima maklumat kejadian pada 12.55 tengah hari.

“Jentera bomba tiba di lokasi pada 1.18 tengah hari dan dimaklumkan bahawa seorang lelaki tempatan yang identitinya belum dikenal pasti telah terjatuh ke dalam sungai,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata operasi mencari dan menyelamat sedang dijalankan menggunakan kaedah pencarian di permukaan air.