KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Pasir Gudang Hassan Abdul Karim hari ini menyangkal kenyataan bekas pengerusi Bersih Datuk S.Ambiga yang mendakwa Kerajaan Perpaduan sebagai kerajaan paling diktaktor.

Beliau sebaliknya berkata tuduhan yang dilemparkan bekas presiden Majlis Peguam itu adalah terlalu berlebihan.

“Cadangan kerajaan untuk mengenakan syarat bahawa syarikat-syarikat platform media sosial dari luar negara perlu ambil lesen mengikut Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia boleh dibantah, dipertikai dan disanggah.

“...tetapi menuduh Kerajaan Persekutuan diktator kerana cadangan itu adalah berlebihan dan tidak adil,” katanya dalam catatan di Facebook.

Media hari ini melaporkan Ambiga mendakwa Kerajaan Perpaduan adalah kerajaan paling diktakor dalam sejarah pemerintahan negara kerana tidak memansuhkan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan (PPPA) 1984, sebaliknya memperkenalkan pelesenan baharu.

Hassan berkata meskipun beliau sedar kerajaan hari ini ada kelemahan, namun beliau yakin kerajaan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bukanlah kerajaan diktaktor.

“Bagaimana kerajaan ini diktator sedangkan kerajaan ini tidak pernah menggantung Parlimen dengan mengisytiharkan darurat seperti kerajaan Perikatan Nasional sebelumnya?

“Bagaimana kerajaan pimpinan Anwar ini diktator sedangkan di Parlimen Laporan Suhakam dibahaskan? Laporan Ketua Audit Negara dan Laporan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) dibahaskan secara terbuka di Parlimen?” katanya.

Beliau turut menasihatkan Ambiga supaya berpada-pada dalam menuduh kerajaan.