KUALA LUMPUR: Sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2025 yang memasuki edisi kelima tahun ini terus menjadi platform bagi memartabatkan profesion kewartawanan, selain menjadi pemangkin kepada transformasi media yang lebih progresif serta bertanggungjawab.
Bertemakan “Kewartawanan Era Baharu: Keseimbangan AI dan Etika”, majlis kemuncak HAWANA 2025 yang melabuhkan tirai semalam menyaksikan detik bersejarah apabila Akta Majlis Media Malaysia (MMM) 2024 berkuat kuasa serta merta dan Lembaga Pengasas MMM dimuktamadkan dengan pengumuman barisan 12 anggota.
Pengumuman dibuat Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil di hadapan 1,000 pengamal media dalam dan luar negara pada majlis kemuncak yang dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Majlis itu turut dihadiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa dan Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching.
Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Mohamad Fauzi Md Isa, Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datuk Seri Wong Chun Wai, Ketua Pegawai Eksekutif Bernama Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin dan Ketua Pengarang Bernama Arul Rajoo Durar Raj.
Penguatkuasaan akta itu menjadi kemuncak kepada perbincangan bertahun-tahun lamanya yang bertujuan menubuhkan badan kawal selia kendiri untuk memperkasakan pengamal media sambil memastikan akauntabiliti, seterusnya menangani kebimbangan orang ramai mengenai amalan media.
Mendengar suara komuniti media, HAWANA 2025 menyaksikan Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) untuk pengamal media sambilan yang diumumkan semasa sambutan sama di Sarawak tahun lepas, dilanjutkan tahun ini dengan peruntukan RM37,170.
Perkembangan mengembirakan petugas media sambilan itu, dilaksanakan hasil sinergi Bernama dengan PERKESO dan sejak dilaksanakan, seramai 531 orang telah memperoleh manfaat.
Kesungguhan kerajaan memastikan tiada pengamal media sambilan terpinggir daripada perlindungan sosial diteruskan dengan inisiatif caruman i-Saraan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) melibatkan peruntukan RM15,930.
Khabar gembira sempena kemuncak HAWANA 2025 diteruskan dengan pengumuman tawaran diskaun 50 peratus secara sekali beri bagi pembelian tiket penerbangan pergi balik ke mana-mana 57 destinasi di negara anggota ASEAN, khusus untuk semua pemegang Kad Perakuan Media warganegara Malaysia.
Tempahan boleh dibuat hingga 31 Dis ini dengan tempoh penerbangan bermula April hingga September 2026.
Inisiatif hasil kerjasama strategik Kementerian Komunikasi dan AirAsia itu dibuat sempena Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025. “Thank you AirAsia for the generous initiative”, memetik kata Fahmi ketika mengumumkan khabar gembira itu.
Bukan setakat itu, pengasas bersama syarikat penerbangan tambang rendah merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Capital A Bhd Tan Sri Tony Fernandes, turut mengumumkan AirAsia akan menamakan pesawat dengan nama wartawan selain paparan livery atau imej di badan pesawat sejajar usaha mengenang peranan serta sumbangan petugas media kepada masyarakat ASEAN.
Sementara itu, Perdana Menteri mengumumkan peruntukan RM30 juta kepada organisasi media tempatan untuk transformasi digital serta penggunaan teknologi baharu dan menyifatkan ia peruntukan terbesar oleh kerajaan kepada wartawan sejak merdeka.
Seiring perkembangan pesat teknologi termasuk kecerdasan buatan (AI), peruntukan itu pastinya bermanfaat untuk tujuan latihan serta memastikan wartawan tidak ketinggalan dalam usaha mengejar perubahan AI di samping menjamin keseimbangan AI dan etika.
Majlis kemuncak menyaksikan bekas Pengarah Media dan Komunikasi Strategik di Pejabat Perdana Menteri Allahyarham Rozaid Abdul Rahman menerima Anugerah Khas HAWANA 2025, manakala Anugerah HAWANA 2025 diberikan kepada Presiden Institut Akhbar Malaysia (MPI) Datuk Yong Soo Heong, sebagai menghargai sumbangan mereka dalam bidang kewartawanan tanah air.
Seramai tiga wartawan veteran, iaitu Penyunting Meja Berita The Star Ng Li Yiao, 56; bekas petugas Karangkraf Rusmin Fadzil, 62, dan Penyunting Makkal Osai Murugan Perumal, 67, menerima sumbangan Tabung Kasih@HAWANA yang disampaikan Perdana Menteri.
Sejak dilancar pada sambutan HAWANA 2023 di Ipoh, Perak, Tabung Kasih@HAWANA telah memberi manfaat kepada 441 pengamal media seluruh negara dengan sumbangan melebihi RM1.2 juta.
Pada majlis semalam, Perdana Menteri diberikan buku ‘From a Rented Bungalow-The Bernama Story’, oleh Wong yang mengabadikan sejarah penubuhan Bernama dalam sebuah naskhah setebal 288 muka surat.
Sesi intelektual HAWANA 2025 tidak ketinggalan menarik perhatian dengan Forum HAWANA 2025 yang membincangkan topik “Malaysian Media Council: Regulator or Media Protector?” serta sesi perkongsian teknologi bertajuk “AI & Media: Tool, Threat or Opportunity?”, kedua-duanya mencetuskan wacana penting tentang peranan media dalam era digital yang pantas berubah.
HAWANA 2025 tahun ini bermula pada 31 Mei dengan Pesta Pantun HAWANA-DBP pada 31 Mei di Wisma Bernama dan julung kali diadakan bagi mengangkat keindahan warisan pantun Melayu dalam kalangan pengamal media.
Sambutan turut dimeriahkan dengan Karnival HAWANA 2025 di Sunway Putra Mall selama tiga hari bermula Jumaat yang menyasarkan kehadiran 5,000 pengunjung dan menampilkan 20 reruai pameran melibatkan agensi media utama, jabatan kerajaan, dan sektor swasta.
Walaupun majlis kemuncak telah berakhir, sambutan HAWANA 2025 akan diteruskan dengan pelbagai pengisian bermakna, antaranya acara sukan media yang menampilkan elemen permainan tradisional serta siri jelajah ke politeknik premier di Selangor, Perak, dan Johor bagi menyemai minat generasi muda terhadap dunia kewartawanan dan media.
Bagi menjayakan sambutan HAWANA 2025, hampir 100 rakan strategik memberikan sumbangan dan tajaan, meningkat berbanding 44 pada tahun lepas sekali gus membuktikan ‘jenama’ HAWANA semakin mendapat perhatian bukan sahaja dalam kalangan jabatan dan agensi kerajaan malah sektor korporat.
Kejayaan HAWANA 2025 yang dianjurkan oleh Kementerian Komunikasi menerusi Bernama sebagai agensi pelaksana membuktikan industri media negara terus relevan dan dinamik dalam mengharungi cabaran era digital.
Sambutan HAWANA mula diperkenalkan pada 2018 sebagai pengiktirafan kepada sumbangan wartawan dalam pembangunan negara, dan tarikh 29 Mei dipilih mengambil sempena penerbitan pertama akhbar Utusan Melayu pada 1939.