KUALA KRAI: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kelantan meminta masyarakat di negeri ini menghentikan budaya menghantar anak ke sekolah tanpa memakai topi keledar khususnya di kawasan sekolah luar bandar.

Pengarahnya Mohd Misuari Abdullah berkata sekiranya diteruskan dan tiada kesedaran, maka ia mendorong kepada peningkatan kes kematian melibatkan penunggang dan pembonceng motosikal.

“Amat menyedihkan apabila angka kematian melibatkan penunggang dan pembonceng motosikal meningkat secara konsisten saban tahun di negeri ini.

“Sebanyak 6,088 kemalangan jalan raya melibatkan pelbagai jenis kenderaan direkodkan berlaku di Kelantan bagi tempoh lima bulan pertama tahun ini.

“Daripada jumlah itu, 137 kematian akibat kemalangan jalan raya direkodkan di negeri itu dalam tempoh yang sama,“ katanya pada sidang media selepas Majlis Perasmian Penyerahan Topi Keledar Kanak-kanak dan Dewasa peringkat negeri 2024 di sini hari ini.

JPJ Kelantan katanya akan memastikan program advokasi dan penguatkuasaan secara berterusan dilaksanakan bagi mengurangkan kemalangan jalan raya di negeri ini.