MACHANG: Jabatan Penjara mendedahkan berlaku kesesakan penjara di seluruh negara berikutan peningkatan kes baharu melibatkan dadah.

Timbalan Komisioner Jeneral Penjara (Keselamatan dan Koreksional) Datuk Abdul Aziz Abdul Razak berkata kesesakan berkenaan antaranya berlaku di bandar-bandar tumpuan seperti Selangor, Johor, Kelantan dan Terengganu.

Beliau berkata Penjara Kajang, Penjara Sungai Buloh dan Penjara Kluang antara penjara yang menunjukkan tanda-tanda wujud kesesakan banduan.

“Kami mendapati kesesakan penjara bukan disebabkan oleh kes-kes berulang namun puncanya adalah kes baharu melibatkan dadah.

“Ketika ini banduan di dalam institusi penjara di seluruh negara mencecah 85,350 orang berbanding 71,000 orang mengikut kadar keselesaan,“ katanya pada program penutupan Majlis Ihtifal Kesenian Islam Perujian Tilawah dan Tafsir Al-Quran dan Pertandingan Nasyid Peringkat Penghuni Jabatan Penjara Malaysia, di sini hari ini.

Abdul Aziz berkata jika keadaan sedemikian tidak diurus sebaiknya, maka ia akan menjadi buruk dan ketika ini jabatannya bersama-sama Kementerian Dalam Negeri sedang mencari jalan penyelesaian dengan mengadakan pelbagai program bagi mengatasi masalah itu.

“Program dijalankan antaranya Sistem Parol, Perintah Kehadiran Wajib, Pelepasan Banduan Secara Lesen, Program Reintegrasi Penghuni dan Program Pemulihan Pemasyarakatan untuk mengurangkan kesesakan dalam penjara,“ katanya.