BALIK PULAU: Inisiatif kerajaan melalui Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) menubuhkan Direktori Organisasi Berasaskan Komuniti (CBO) berupaya meningkatkan kesedaran komuniti setempat dalam membantu menangani kes penderaan, pengabaian dan keganasan.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata isu penjagaan keselamatan golongan rentan dalam komuniti khususnya kanak-kanak, golongan kurang upaya, warga emas serta mangsa keganasan rumah tangga tidak boleh dipandang remeh.

Beliau berkata menjadi tanggungjawab semua pihak di semua peringkat untuk melaporkan kes berkaitan isu berkenaan bagi membolehkan tindakan segera diambil.

“Melalui CBO ini kita memberi pendedahan kepada masyarakat setempat tentang siapa yang mereka boleh hubungi, contohnya kalau polis apa nombor telefon mereka. Saya sangat merasakan ini satu langkah positif dalam memberi kesedaran kepada masyarakat tentang pentingnya untuk melaporkan jika berlaku sesuatu kes.

“Pengerusi dan ahli CBO pula merupakan orang yang paling dekat dengan komuniti untuk memohon pertolongan apabila berlaku sesuatu insiden, justeru peranan komuniti seperti ketua kampung, persatuan atau pertubuhan, guru, jiran, sukarelawan lain sangat penting untuk menjadi mata dan telinga kepada pihak berkuasa,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Direktori Organisasi Berasaskan Komuniti (CBO)@ Barat Daya di Dewan Bukit Belah di Bayan lepas, di sini, hari ini.

Noraini berharap dengan adanya direktori tersebut dapat mempercepatkan lagi tindakan yang diambil oleh CBO bagi membantu komuniti yang memerlukan.

Beliau berkata Pulau Pinang merupakan lokasi keempat pelancaran Direktori CBO selepas di Sepang, Selangor; Alor Gajah, Melaka dan Seremban, Negeri Sembilan, dengan lokasi seterusnya di Papar, Sabah pada 19 Ogos ini, manakala Kuala Lumpur (3 Sept) dan Sibu, Sarawak (18 Sept).

Sementara itu, Noraini berkata dari Januari hingga Mei lepas, sebanyak 3,957 kes melibatkan kanak-kanak yang memerlukan pemeliharaan serta perlindungan dilaporkan, dengan kanak-kanak perempuan dan lelaki masing-masing mencatatkan 2,522 kes dan 1,435 kes, manakala di Pulau Pinang 235 kes direkodkan melibatkan 138 kanak-kanak perempuan dan 97 lelaki.

Beliau menegaskan tanggungjawab membendung isu penderaan atau pengabaian kanak-kanak bukan hanya terletak pada KPWKM semata-mata tetapi semua pihak termasuk anggota keluarga dan masyarakat.

Beliau berkata sehingga Disember 2023, sebanyak 140 Pasukan Pelindungan Kanak-Kanak (PPKK) dan 142 Pusat Aktiviti Kanak-Kanak (PAKK) telah ditubuhkan di seluruh negara yang berfungsi sebagai sistem sokongan kepada perkhidmatan perlindungan kanak-kanak.

“Usaha ini dilakukan untuk membantu mencegah kes-kes seperti penganiayaan dan pengabaian kanak-kanak, ponteng sekolah, kerosakan akhlak dan lain-lain masalah sosial,” katanya.