KUALA LUMPUR: Ibadah korban sempena Aidiladha bukan sahaja memenuhi tuntutan agama, bahkan membuka ruang mengeratkan hubungan antara rakyat, termasuk antara agensi kerajaan dan komuniti setempat, kata Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil.
Beliau berkata amalan itu, menonjolkan semangat perpaduan dan mengukuhkan hubungan masyarakat daripada pelbagai latar belakang.
“Saya lihat suasananya sangat ceria, dengan kehadiran kanak-kanak, warga RTM dan juga wakil IPPTAR (Institut Penyiaran dan Penerangan Tun Abdul Razak), yang bersama-sama menjayakan ibadah korban ini.
“Harapan saya, inisiatif sebegini akan terus mengeratkan silaturahim sesama kita, Insya-Allah,” katanya kepada pemberita semasa majlis Ibadah Korban Aidiladha anjuran RTM di Masjid Muhammadi, Angkasapuri di sini hari ini.
Sebanyak 13 ekor lembu dikorbankan, hasil sumbangan kakitangan RTM serta ahli jawatankuasa kariah masjid, termasuklah seekor daripada sumbangan Fahmi sendiri sempena program berkenaan.
Fahmi yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai berkata Pejabat Parlimen Lembah Pantai mengagihkan sebanyak 76 ekor lembu korban, kepada penduduk di Parlimen itu.
“Di luar kawasan Lembah Pantai pula, terdapat lima ekor lagi yang dikorbankan hasil usaha pasukan kami. Alhamdulillah, ini bukti kerjasama erat yang terjalin dalam komuniti,” katanya.
Beliau turut menzahirkan komitmen untuk terus menyokong penganjuran program seumpama itu pada masa akan datang, memandangkan ia terbukti mampu memperkukuh jalinan perpaduan dalam kalangan rakyat.
“Saya telah beberapa kali menyertai ibadah korban di sini sejak menjadi Ahli Parlimen biasa lagi. Saya lihat ia amat bermakna dan sesuai diteruskan kerana benar-benar merapatkan hubungan masyarakat,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Masjid Muhammadi Angkasapuri Datuk Mohamed Irwan Mansor ketika ditemui berkata lebih 200 individu menyertai ibadah korban anjuran masjid itu.
“Alhamdulillah, ibadah korban berjaya dilaksanakan dengan penyertaan pelbagai lapisan masyarakat termasuk golongan muda, wanita dan kanak-kanak yang hadir memeriahkan suasana,” katanya.
Majlis turut disusuli dengan agihan daging korban kepada golongan asnaf di sekitar kawasan Angkasapuri yang dikenal pasti oleh jawatankuasa masjid.
“Kupon agihan telah diberikan lebih awal kepada mereka yang layak dan daging korban akan diserahkan kepada penerima sebaik selesai proses melapah,” katanya.
Beliau berkata program yang diadakan setiap tahun ini bukan sahaja memperkukuh hubungan silaturahim dalam kalangan warga kerja dan komuniti setempat, malah memberi manfaat terus kepada golongan memerlukan.