SEPANG: Perasaan bangga jelas terpancar daripada wajah ibu bapa kepada jaguh badminton negara Toh Ee Wei iaitu Toh Kok Leong dan Jane Yeoh ketika menyambut kepulangan anak mereka dari Paris, Perancis selepas bergelar juara dunia bersama pasangannya Chen Tang Jie baru-baru ini.
Kok Leong berkata detik itu cukup bermakna terutama kejayaan besar yang dilakar anaknya itu hadir pada Hari Kemerdekaan ke-68, sekali gus memberikan hadiah bermakna buat seluruh rakyat Malaysia.
“Memang emosional. Kali pertama dapat gelaran besar pada Hari Merdeka, seluruh rakyat Malaysia berasa bangga.
“Kami di rumah pun menangis sama, lebih bangga bila dia balik dalam keadaan sihat tanpa cedera,” katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini hari ini.
Terdahulu, Tang Jie-Ee Wei dinobatkan sebagai juara dunia dalam acara beregu campuran selepas menumpaskan wakil China Jiang Zhen Bang-Wei Ya Xin 21-15, 21-14 pada final Kejohanan Dunia pada Ahad lepas.
Sementara itu, ibu Tang Jie, Chen Keat Siew turut melahirkan rasa bangga dengan kejayaan anak lelakinya itu.
Beliau berkata kejayaan itu lebih manis berbanding ketika mereka memenangi Terbuka Korea tahun lepas, yang turut jatuh pada Bulan Kemerdekaan.
“Memang gembira, memang teruja. Ini istimewa sebab jatuh pula pada Hari Merdeka. Kalau dulu Terbuka Korea, sekarang dia sudah juara dunia.
“Itu bukan penghujung, lepas ini dia kena kerja lebih keras,” katanya.
Beliau turut berharap agar kejayaan itu tidak terhenti di situ, sebaliknya melakar lebih banyak kemenangan pada masa hadapan. – Bernama