Your Title

IPOH: Jabatan Imigresen Perak menahan 47 warga asing atas pelbagai kesalahan berkaitan imigresen selepas memeriksa sembilan premis kediaman dan sebuah penempatan haram dalam Ops Sapu di sekitar daerah Hulu Perak, semalam.

Pengarahnya Meor Hezbullah Meor Abd Malik berkata 26 anggota jabatan imigresen terlibat dalam operasi selama empat setengah jam yang berakhir pukul 3.30 pagi itu, membabitkan pemeriksaan keatas 58 warga asing.

“Seramai 40 lelaki dan tujuh wanita ditahan di lokasi berbeza kerana dipercayai melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 serta Peraturan-Peraturan Imigresen 1963, dan kesemua warga asing yang ditahan berusia 19 hingga 56 tahun,“ katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata kesemua warga asing yang ditahan itu ditempatkan di Depot Imigresen Ipoh bagi tujuan siasatan dan tindakan lanjut mengikut proses undang-undang negara.

Sementara itu dalam kenyataan berasingan Meor Hezbullah berkata pihaknya menghantar 61 lagi pendatang tanpa izin terdiri daripada 49 lelaki, 11 wanita dan seorang bayi lelaki berusia tujuh bulan hingga 49 tahun, kembali ke negara asal mereka hari ini.

Beliau berkata mereka dibawa ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur untuk dihantar pulang setelah selesai menjalani hukuman denda dan penjara.