KUALA LANGAT: Rang Undang-Undang Perubahan Iklim Negara (RUUPIN) akan memasukkan insentif bagi syarikat yang mampu mengurangkan pelepasan karbonnya, menurut pemangku Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Datuk Seri Johari Abdul Ghani.
Beliau berkata antara lain ia juga mungkin melibatkan pelaksanaan kredit karbon yang akan menyokong agenda negara untuk mencapai pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2050.
“RUU itu masih dalam peringkat draf (dan) belum dibentangkan kepada Kabinet dan saya masih menelitinya dan cuba melakukan beberapa libat urus dengan pemain industri termasuk Bursa supaya kami dapat beberapa garis panduan dan apabila ia siap ia akan didedahkan kepada rakyat Malaysia,“ katanya.
Johari turut menekankan bahawa draf pertama sudah ada, tetapi beliau perlu menelitinya secara menyeluruh untuk memastikan akta yang dibentangkan adalah sesuatu yang diterima industri supaya objektifnya tercapai.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas pelancaran projek perintis Biodiesel B30 di Guthrie’s Golden Hope Academy di Pulau Carey hari ini.
Sebelum ini, pada 29 Mei lalu, Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam Datuk Dr Ching Thoo dilaporkan berkata rang undang-undang itu dijangka dibentangkan pada Ogos. - Bernama