KUALA LUMPUR: Insiden kecurian kabel sistem semboyan dan komunikasi di tiga laluan utara Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) hari ini telah mengakibatkan kelewatan tren melebihi 60 minit bagi perkhidmatan Komuter Utara dan tren elektrik (ETS).

KTMB dalam kenyataan memaklumkan antara lokasi terkesan ialah laluan Tapah Road-Sungkai (KM250.5) dengan anggaran kecurian kabel sepanjang 200 meter (m), diikuti kawasan Kamunting-Bukit Merah-Bagan Serai (KM87.25) sepanjang 110m serta kawasan Simpang Ampat-Bukit Mertajam (KM15.5) melibatkan 40m kabel.

Insiden itu menyebabkan perjalanan tren terjejas dengan kelewatan ketara 80 minit hingga 115 minit membabitkan EP9172 (KL Sentral-Butterworth), EG9321 (Butterworth-Segamat), ?EX9107 (Butterworth-KL Sentral), EX9207 (Padang Besar-KL Sentral) dan EG9420 (Segamat-Padang Besar).

Selain itu, perkhidmatan KTM Komuter Utara laluan Ipoh-Butterworth-Ipoh turut terganggu dengan purata kelewatan 30 minit.

Menurut KTMB sebagai langkah awal pemakluman telah dibuat kepada penumpang menerusi sistem pesanan ringkas (SMS) dan platform media sosial rasmi KTMB.

Ketua Pegawai Operasi KTMB Mohd Zain Mat Taha dalam kenyataan sama memaklumkan dari Jan hingga Mei tahun ini, kira-kira 45 kes kecurian kabel dicatatkan di sektor utara.

“Kecurian sebegini merupakan satu bentuk sabotaj terhadap infrastruktur rel yang boleh mengancam keselamatan ratusan penumpang serta melumpuhkan sistem pengangkutan awam,“ katanya.

Sebagai langkah mitigasi KTMB memaklumkan pihaknya akan menambah baik rangkaian sistem persemboyanan melibatkan anggaran kos RM12.8 juta setahun dalam tempoh tiga tahun dengan penumpuan kepada kawasan titik panas.

Antaranya pemasangan penutup lurang (manhole) dengan mekanisme kunci keselamatan khas di 21 lokasi selain menambah infrastruktur pemantauan dan pencegahan termasuk kamera litar tertutup (CCTV), dron serta memasang pagar keselamatan antipanjat.

Selain itu katanya pemantauan dan pengawasan oleh anggota Polis Bantuan KTMB dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan dipertingkatkan di kawasan titik panas bagi menangani kes kecurian kabel.

“KTMB menyeru kerjasama orang ramai untuk menyalurkan sebarang maklumat berkaitan aktiviti mencurigakan kepada pihak berkuasa bagi membantu membanteras jenayah ini.

“KTMB juga memohon maaf atas segala kesulitan yang dialami para penumpang dan terus komited memastikan keselamatan serta kebolehpercayaan perkhidmatan tren demi kepentingan rakyat dan negara,” katanya.

Sejumlah RM1.44 juta kerugian dicatatkan akibat kecurian kabel di sektor utara melibatkan RM1.28 juta pada tahun lepas dan RM162,000 setakat Mac 2025.