ISKANDAR PUTERI: Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri melupuskan pelbagai barang kes bagi tempoh 2017 hingga Mei lepas yang bernilai RM281.350.
Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri ACP M. Kumarasan berkata pelupusan barangan kes berkenaan melibatkan 567 kertas siasatan yang telah diselesaikan dan mendapat arahan pelupusan pihak mahkamah.
Beliau berkata empat daripada kertas siasatan itu melibatkan barang kes perjudian berjumlah RM94,380 dan merupakan barang kes dengan nilai tertinggi yang dilupuskan kali ini.
“Turut dilupuskan barangan am bernilai RM31,028, rokok serta minuman keras berjumlah RM71,242 serta barangan berkaitan bitcoin dengan jumlah rampasan RM84,700,” katanya pada sidang media di IPD Iskandar Puteri di sini hari ini.
Turut hadir Timbalan Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri Supt Mohd Azlan Abdul Kadir dan Timbalan Pendakwa Raya Negeri Johor Muhammad Nursyafiq Abd Halim serta Sarah Siti Aisyah Mustapha Kamal.
Sementara itu, Kumarasan berkata pelupusan berkenaan merupakan sebahagian usaha berterusan PDRM untuk memastikan pengurusan barang kes dibuat secara sistematik dan mengikut prosedur.