KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim merafak sembah tahniah kepada Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim sempena Istiadat Pertabalan yang berlangsung hari ini.

“Semoga Allah SWT memberkati pemerintahan Duli Tuanku serta terus berada pada kedudukan paling tinggi dalam Perlembagaan negara, seiring fungsi institusi diraja sebagai pelindung agama Islam dan menjadi lambang perpaduan dan kesejahteraan semua kaum di negara ini,“ katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Perdana Menteri mewakili seluruh rakyat Malaysia juga menzahirkan ketaatan dan kesetiaan tidak berbelah bahagi kepada institusi Raja Berperlembagaan.

Istiadat pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-17 berlangsung di Balairung Seri Istana Negara hari ini, dan dihadiri ratusan tetamu termasuk Raja-Raja Melayu, Yang Dipertua-Yang Dipertua Negeri, Jemaah Menteri, komuniti diplomatik asing di negara ini dan pemimpin utama negara.

Sultan Ibrahim telah melafaz dan menandatangani Surat Sumpah Jawatan sebagai Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke-17 pada 31 Jan lepas.

Anwar yang mewakili seluruh rakyat negara ini turut menzahirkan ucapan tahniah kepada Raja Zarith Sofiah sebagai Raja Permaisuri Agong.

Beliau berkata Seri Paduka Baginda juga berperanan dalam menjamin jalinan erat di antara negara di peringkat ASEAN, negara-negara Islam dan di peringkat antarabangsa

Anwar turut menzahirkan ikrar bahawa kerajaan serta rakyat akan sentiasa menumpahkan taat setia kepada Seri Paduka Baginda.

Perdana Menteri juga menzahirkan junjungan kasih kepada Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah yang menaungi pemerintahan dengan amanah dan secara bijaksana sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16.

Sultan Ibrahim ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 dalam istiadat penuh tradisi dan adat raja-raja Melayu di Istana Negara hari ini, yang melakar satu lagi peristiwa bersejarah dan signifikan bagi Malaysia.

Sultan Ibrahim telah melafaz dan menandatangani Surat Sumpah Jawatan sebagai Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke-17 pada 31 Jan.