SERI ISKANDAR: Pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menasihatkan pengurusan pasar raya Mydin Manjoi untuk memagar kawasan sekitar bangunan tersebut agar tidak diceroboh.

Pengarah JBPM Perak Sayani Saidon berkata pihaknya difahamkan sungguhpun terdapat usaha Mydin untuk menutup kawasan itu, namun orang awam tetap menggunakan laluan berhampiran struktur berkenaan.

“Jadi kita nasihatkan orang awam kalau boleh tidak melalui kawasan itu kerana sisa serpihan masih ada lagi, memang tak selamat, walaupun tak kena ramai orang, tetapi ada yang cedera,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada perasmian Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia (ABPM) Wilayah Utara di Tronoh.

Sultan Perak Sultan Nazrin Shah berkenan menyempurnakan perasmian itu.

Semalam, dua remaja lelaki cedera ringan selepas terkena serpihan batu bata yang jatuh daripada runtuhan dinding pasar raya tersebut.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manjoi Mohd Hafez Sabri sebelum ini menggesa tindakan segera termasuk merobohkan bangunan pasar raya itu bagi mengelak insiden serpihan runtuhan dinding berulang.

Pasar raya tersebut terbakar 10 Mac lepas yang berpunca akibat kerosakan panel pembahagi elektrik di bangunan itu.

Sementara itu, Sayani berkata sebarang tindakan segera yang mahu diambil termasuk merobohkan bangunan tersebut bukanlah di bawah bidang kuasa JBPM.

Katanya bomba hanya bertanggungjawab untuk proses pemadaman dan penyiasatan kebakaran.

“Masa itu kami ambil milik (tanah dan bangunan) dan tidak membenarkan orang awam lalu serta masuk kawasan itu. Tetapi selepas kita serahkan semula, itu tanggungjawab pemilik sendiri memastikan kawasan itu selamat.

“Bangunan itu milik dia (Mydin), jadi tanggungjawab pemilik. Cuma kita nasihatkan supaya pemilik merujuk dengan jabatan sepatutnya atau jurutera berkenaan untuk memastikan keselamatan struktur bangunan itu,” katanya.