KUANTAN: Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Pahang menyarankan pihak penganjur memaklumkan sebarang penganjuran aktiviti luar bagi mengelakkan kejadian tidak diingini berikutan cuaca panas dan kering ketika ini.
Pengarahnya Datuk Dr Rusdi Abd Rahman berkata berdasarkan kes diterima pihaknya, kebanyakan kes berkaitan cuaca panas melibatkan kelesuan dan strok haba berpunca daripada aktiviti luar seperti larian dan mendaki bukit.
“Ada yang tidak maklum (anjurkan aktiviti luar) itu masalahnya. Saya sarankan mereka memaklumkan kepada kita (JKN), sekurang-kurangnya kita tahu sebarang penganjuran aktiviti luar. Kemudian kita akan salurkan maklumat itu kepada klinik kesihatan terdekat.
“Jadi, apabila berlaku sesuatu, kita dah tahu mengenai ini (sebarang insiden) dan terus bersiap dengan peralatan sepatutnya (dan langkah kecemasan segera). Penganjur juga kena pastikan trek (atau sebarang aktiviti luar) mesti ada orang memantau tidak boleh dibiarkan dan tak tahu berlaku apa-apa,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media pada majlis penyerahan lapan ambulans kepada pengarah hospital di enam daerah negeri ini di pekarangan Wisma Sri Pahang di sini yang disempurnakan oleh Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.
Dr Rusdi mengulas mengenai kes seorang peserta program larian yang meninggal dunia akibat strok haba di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini pada 25 Ogos lepas.
Rusdi berkata sehingga kini jumlah kes berkaitan cuaca panas yang dinotifikasi di Pahang pada tahun ini sebanyak 18 kes dengan 14 melibatkan kelesuan haba manakala empat strok haba dengan dua kematian.
Beliau berkata suhu harian bagi negeri itu berdasarkan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dalam keadaan terkawal iaitu kurang 35 darjah Celsius.
“Kebanyakan kes berkaitan cuaca panas ini melibatkan orang muda, sihat dan tidak berpenyakit. Mereka ini ada antaranya overestimate, rasa diri stamina okey untuk buat aktiviti luar sedangkan ada tidak cukup rehat, tidak cukup bawa air dan sebagainya.
“Saya nasihatkan peserta jangan overestimate dengan keupayaan diri. Saya rasa penganjur sudah beri taklimat sebelum program, jadi peserta kena ikut dan fahami risiko serta tengok keadaan cuaca sebelum lakukan sesuatu aktiviti luar,” katanya.