Your Title

KUANTAN: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berharap umat Islam di Malaysia tidak menjadikan Ramadan seperti bulan-bulan biasa yang lain sebaliknya mengangkat ia sebagai bulan istimewa untuk meningkatkan amalan dan ibadah.

Beliau berkata Ramadan merupakan bulan turunnya al-Quran sebagai petunjuk kepada manusia yang perlu dimanfaatkan dengan sebaiknya untuk memahami, menghayati dan mengamalkan kandungan kitab suci itu dalam kehidupan seharian.

“Maknanya, (dalam bulan Ramadan) kerja kita harus lebih, akhlak perlu lebih baik dan memastikan nilai kita supaya (dapat) meningkatkan ketakwaan kepada Allah.

“Jadi, saya harap mudah-mudahan bulan Ramadan (beri) kesempatan bagi umat Islam (menunjukkan) contoh yang baik. Bukan dari segi jeritan, bukan nak marah dan menghukum, mencerca serta menghina orang,“ katanya ketika berucap di Majlis Berbuka Puasa MADANI peringkat negeri Pahang di sini malam ini.

Majlis itu, yang berlangsung di Masjid Tengku Ampuan Afzan, Indera Mahkota turut dihadiri Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Perdana Menteri berkata ciri-ciri umat Islam yang baik adalah mempunyai akhlak yang mulia, tidak menipu, tidak merasuah, mencuri dan turut mengingatkan pemimpin politik, penjawat awam serta peniaga supaya mempertahankan nilai integriti.

“Ramadan memberi kita ujian dan pastikan ada kewibawaan, ada akhlak, ada nilai yang kita pertahankan, ada integriti.

“Kalau berniaga, berniaga dengan baik. Jangan kaut keuntungan berlebihan dan menekan orang di bawah. Kalau mentadbir, mentadbir dengan amanah. Kalau memimpin, memimpin dengan amanah,“ katanya.

Mengulas lawatan singkat beliau ke Pahang, Anwar berkata negeri itu mempunyai hubungan yang sangat baik dengan Kerajaan Persekutuan.

“Sampai sahaja, saya terus menghadap Sultan Pahang (Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah) kerana itu, saya datang untuk menunjukkan kasih hormat dan terhutang budi kepada baginda selama lima tahun sebagai Yang di-Pertuan Agong.

“(Saya turut mendengar taklimat) Menteri Besar dan Kerajaan (Negeri) Pahang mana jalan, mana projek yang patut diperbaiki dan harus didengar oleh Kerajaan Persekutuan,“ katanya.

Wan Rosdy dalam ucapannya pula berkata pelbagai perkara penting berkaitan pembangunan Pahang telah dibincang bersama Perdana Menteri semasa sesi taklimat sempena lawatan ringkas Anwar itu.

“Banyak benda telah diluluskan dan diberi pertimbangan... dua, tiga masjid telah diluluskan Perdana Menteri,“ katanya.

Beliau turut mengucapkan tahniah kepada Anwar atas usaha yang berterusan untuk meningkatkan ekonomi negara.

Selepas berbuka, Anwar menunaikan solat Maghrib secara berjemaah yang diimamkan oleh Imam Satu Masjid Tengku Ampuan Afzan Mohd Hafidz Mohamad Suhaile sebelum berlepas pulang ke Kuala Lumpur.