SHAH ALAM: Jajaran Seksyen 2 Lebuhraya Pesisiran Pantai (WCE) yang menghubungkan Persimpangan Bertingkat SAE (KESAS) ke Persimpangan Bertingkat Lebuhraya Lembah Klang Selatan (SKVE) dan Persimpangan Bertingkat Banting akan melaksanakan kutipan tol bermula pada 12.01 tengah malam ini.

WCE dalam kenyataan memaklumkan bahawa jajaran sepanjang 7.2 kilometer (km) itu beroperasi secara percuma sejak dibuka secara rasmi oleh Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi pada 22 Jan lepas.

Kutipan tol Seksyen 2 itu akan dilaksanakan secara elektronik sepenuhnya menggunakan kad Touch ‘n Go, Smart Tag dan RFID.

Mengikut kenyataan itu, kadar tol akan dikenakan mengikut kelas kenderaan dan jarak perjalanan bermula daripada RM1.32 hingga RM13.85.

“Kadar tol dan kaedah pembayaran tol di Seksyen 2 lebuhraya WCE berintegrasi sepenuhnya dengan Lebuhraya SKVE melalui Persimpangan Tanjung Dua Belas.

“Kadar tol yang dikenakan telah mengambil kira keseluruhan perjalanan pengguna, termasuk bahagian perjalanan di Lebuhraya SKVE,“ menurut kenyataan itu.

Pengguna lebuh raya dinasihatkan untuk memastikan baki e-wallet dan kad Touch ‘n Go mencukupi sebelum memulakan perjalanan bagi mengelakkan sebarang kesulitan semasa melalui plaza tol.

Untuk maklumat lanjut mengenai kadar tol dan cara pembayaran, orang ramai boleh melayari laman sesawang WCE atau muat turun aplikasi WCE App atau menghubungi WCE Infoline menerusi talian 1700 81 6600 atau e-mel info@wce.com.my jika menghadapi sebarang masalah dengan pembayaran tol.

WCE ialah projek lebuh raya utama di Malaysia sepanjang 233 km dari Banting, Selangor hingga Taiping (Changkat Jering), Perak. Apabila siap sepenuhnya kelak, ia akan berfungsi sebagai nadi penting pengangkutan yang akan menghubungkan bandar-bandar di sepanjang pantai barat Semenanjung Malaysia.