NILAI: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sedang menyiasat pelantikan syarikat perkhidmatan katering yang tidak mempunyai pensijilan halal bagi membekalkan makanan kepada pesakit di Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM).
Ketua Pengarah Jakim, Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee, berkata pihaknya sedang mendapatkan maklumat terperinci untuk mencari penyelesaian terbaik bersama agensi berkaitan.
“Mungkin ada kekeliruan atau salah faham. Kita tidak mahu menyalahkan mana-mana pihak,“ katanya selepas merasmikan Seminar Halal dan Fatwa (Sehalwa) 2025 di sini hari ini.
Beliau mengulas laporan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2/2025 yang mendedahkan HCTM memberikan kontrak katering bernilai RM25.64 juta kepada syarikat tanpa sijil halal.
Syarikat berkenaan, 0267299-T, dilantik membekalkan makanan selama tiga tahun bermula Februari 2024.
Sirajuddin menegaskan, Kementerian Kewangan (MOF) telah menetapkan syarat supaya pembekal makanan perlu mempunyai sijil halal.
“Sebagai contoh, bila nak jalankan seminar di luar pejabat, penyedia makanan perlu ada sijil halal,“ katanya.
Jakim juga sedia membantu syarikat mendapatkan sijil halal.
“Kita usahakan supaya lebih banyak syarikat Bumiputera mendapatkan sijil halal. Kesedaran ini perlu dipertingkatkan,“ ujarnya.
Beliau turut menekankan pentingnya pensijilan halal berteraskan digitalisasi dan integriti.
“Malaysia perlu pertahankan kredibiliti pensijilan halal di peringkat antarabangsa,“ katanya. – Bernama