the sun malaysia ipaper logo 150x150
Friday, July 24, 2026
29.8 C
Kuala Lumpur
the sun malaysia ipaper logo 150x150

Jemaah Haji terima ubat lebih cepat hasil teknologi dron – Arab Saudi

MAKKAH: Pusat Operasi Kecemasan Kesihatan Kementerian Kesihatan Arab Saudi berjaya memendekkan masa penghantaran ubat ke lokasi-lokasi haji daripada lebih sejam kepada hanya enam minit menerusi penggunaan dron.

Langkah inovatif ini merupakan satu lonjakan penting dalam mempertingkat logistik penjagaan kesihatan dan memastikan sokongan perubatan dapat disalurkan dengan segera kepada jutaan jemaah.

Sebelum ini, penghantaran ubat ke lokasi-lokasi tertentu semasa haji boleh mengambil masa sehingga sejam 20 minit. Namun, dengan penggunaan dron pada tahun ini, masa tersebut dapat dikurangkan kepada hanya enam minit.

“Peningkatan teknologi ini benar-benar mengubah keadaan,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Pelantikan & Rujukan Perubatan Arab Saudi Prof Dr Nawfal Aljerian, semasa lawatan media asing ke pusat berkenaan di Mina pada Ahad, sambil menegaskan bahawa inisiatif ini selari dengan komitmen kerajaan untuk meningkatkan perkhidmatan kesihatan semasa musim haji, antara perhimpunan tahunan terbesar dunia.

Pusat Operasi Kecemasan Kesihatan ini beroperasi 24 jam sehari dan menyepadukan data masa nyata daripada pelbagai hospital, klinik dan perkhidmatan ambulans.

Segala maklumat disalurkan secara langsung menerusi sistem elektronik seperti Rekod Perubatan Elektronik (EMR) dan Sistem Maklumat Hospital (HIS), membolehkan pasukan perubatan membuat keputusan yang pantas dan tepat.

“Ini adalah sistem digital sepenuhnya yang disepadukan secara menyeluruh,” jelas Dr Nawfal.

“Setiap penyedia perkhidmatan – daripada Kementerian Kesihatan kepada Pihak Berkuasa Bulan Sabit Merah hingga rakan kongsi kesihatan swasta – semuanya dihubungkan. Kehadiran mereka dalam satu bilik, pada masa yang sama, membolehkan keputusan dibuat secara terselaras dan pantas.”

Sehingga 1 Jun, kementerian melaporkan lebih 81,000 perkhidmatan kesihatan telah diberikan kepada jemaah sejak permulaan musim haji bagi tahun 1446 Hijrah.

Pusat ini turut menyokong pemantauan kesihatan awam, penilaian risiko dan tindakan segera apabila diperlukan.

Selain itu, jemaah boleh menghubungi nombor tempatan 97 untuk pertanyaan kesihatan dan akan disambungkan terus kepada perkhidmatan yang paling sesuai.

Pusat Operasi Keselamatan Bersepadu (911), yang bekerjasama rapat dengan kementerian, menjawab panggilan dalam masa kurang dua saat dan menghantar laporan kepada pasukan pakar dalam tempoh 45 saat.

Sistem ini mampu mengendalikan panggilan dalam hampir semua bahasa utama dunia, memastikan setiap jemaah menerima bantuan tanpa mengira kewarganegaraan.

Dengan suhu yang semakin meningkat, pegawai kesihatan menasihatkan jemaah agar mengambil langkah berjaga-jaga terhadap penyakit berkaitan haba.

“Nasihat saya kepada semua jemaah ialah: berehat apabila boleh, elak cahaya matahari secara langsung, gunakan payung, minum banyak air… dan nikmati ibadah haji anda,” kata Dr Nawfal.

Usaha komprehensif dan terselaras ini, yang diketuai Kementerian Kesihatan, bertujuan memastikan jemaah mendapat akses kepada penjagaan kesihatan berkualiti tinggi, memperkukuh kesiapsiagaan sistem pencegahan dan respons pantas serta melindungi kesihatan dan keselamatan semua jemaah.

Perkhidmatan ini merupakan sebahagian daripada visi kesihatan yang lebih luas di bawah Program Transformasi Sektor Kesihatan dan Program Pengalaman Jemaah – dua inisiatif utama di bawah Visi 2030 Arab Saudi.

Kedua-dua inisiatif ini menyasarkan penyampaian perkhidmatan kesihatan cemerlang yang menjamin kesejahteraan dan keselesaan jemaah semasa melaksanakan ibadah dengan selamat dan mudah.

Data Kementerian Kesihatan menunjukkan hampir 49,000 jemaah menerima rawatan di pusat kesihatan primer, manakala jabatan kecemasan mengendalikan lebih 19,000 kes.

Klinik pesakit luar pula menerima hampir 1,000 pesakit dan lebih 3,500 individu telah dimasukkan ke hospital, termasuk 1,730 ke unit rawatan rapi.

Selain itu, sistem kesihatan berjaya melaksanakan 120 prosedur angioplasti jantung dan 11 pembedahan jantung terbuka.

Sementara itu, pasukan perubatan lapangan telah bertindak balas dengan pantas dan cekap terhadap 25 kes keletihan haba.

Sistem kesihatan ini terus beroperasi pada kapasiti penuh, berpandukan perancangan proaktif dan rangkaian perkhidmatan berkualiti tinggi yang sepenuhnya bersepadu.

Dengan penggunaan dron, keputusan berasaskan kecerdasan buatan (AI), dan perkhidmatan 24 jam, pasukan kesihatan dan keselamatan Arab Saudi menunjukkan tahap kesiapsiagaan dan inovasi baharu dalam usaha melindungi kesihatan serta keselamatan Tetamu Allah.

STAY AHEAD OF THE CURVE

Join our community for instant updates and exclusive content.

Join Telegram Channel

Related


spot_img

Latest News

KBS assessing possibility of Malaysia hosting F1 race

KBS is actively holding discussions and conducting assessments on the possibility of hosting a Formula 1 (F1) race at the Sepang International Circuit (SIC) to replace the Bahrain Grand Prix (GP) this October.

Novum Studio Secures New Funding to Launch Ahoy Project, an AI-Native Enterprise Transformation Platform,...

NEW YORK, USA - Media OutReach Newswire - 24 July 2026 - Novum Studio, the company behind Frog - a Gen Z social app often described as a "new-generation Snapchat" - said it has raised a new round of funding and will use the proceeds to launch Ahoy Project, an AI-native enterprise communication and collaboration platform, with internal testing scheduled for July 2026.

Shorter Trips, More Meaningful Experiences: OZO Taps into the Rise of Micro-trips Across Asia-Pacific

BANGKOK, THAILAND - Media OutReach Newswire - 24 July 2026 - As travellers across Asia-Pacific increasingly look for greater flexibility and balance in the way they travel, shorter and more frequent getaways are becoming a popular alternative to waiting for one long annual holiday.

Most Viewed

spot_img
WC26

World Cup 2026

Updates, Fixtures, Results & Standings