• 2025-07-29 03:10 PM

KUALA LUMPUR: Projek Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) fasa dua dijangka bermula September ini dengan pendekatan lebih fleksibel bagi mempercepat liputan Internet di seluruh negara.

Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata fasa ini tidak lagi bergantung sepenuhnya pada pembinaan menara konvensional, sebaliknya menggunakan kaedah hibrid seperti monopole 30 meter untuk liputan lebih pantas.

“Kita jangkakan tempoh pelaksanaan lebih cepat kerana tidak semua kawasan memerlukan menara tinggi. Pendekatan ini lebih efisien,“ katanya ketika menjawab soalan tambahan Datuk Larry Sng Wei Shien (PBM-Julau) di Dewan Rakyat hari ini.

Bagi kawasan Parlimen Julau, liputan 4G di kawasan berpenduduk sudah mencapai 58.28 peratus. Sebanyak 43 daripada 48 menara baharu telah siap beroperasi, manakala 44 stesen pemancar dinaik taraf. Selain itu, 1,391 premis kini mempunyai capaian gentian optik.

Fahmi menjelaskan pelaksanaan 5G di Julau masih dalam pertimbangan kerana keutamaan diberikan kepada kawasan bandar dan perindustrian. Namun, perluasan ke luar bandar akan dilaksanakan secara berperingkat.

Kerajaan Sarawak turut memainkan peranan melalui projek SMART 600 dengan 29 menara sudah beroperasi dan 15 lagi dalam pembinaan. Kerjasama antara MCMC dan SDEC juga diperkukuh bagi memastikan kesalinghubungan lebih baik di negeri itu. - Bernama