KUALA LUMPUR: Projek Pelan Jalinan Digital Negara (Jendela) fasa dua dijangka bermula September ini dengan pendekatan lebih fleksibel bagi mempercepat liputan Internet di seluruh negara.
Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata fasa kedua ini tidak lagi bergantung sepenuhnya kepada pembinaan menara komunikasi konvensional. Sebaliknya, pendekatan hibrid akan digunakan bagi memastikan liputan lebih pantas dan efisien.
“Bagi fasa dua, kita tidak berhasrat untuk membina menara semata-mata. Kawasan yang memerlukan liputan mungkin tidak perlukan menara 76 meter, mungkin hanya monopole 30 meter atau penyelesaian hibrid lain,“ katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Datuk Larry Sng Wei Shien (PBM-Julau) mengenai pelaksanaan Jendela fasa dua serta isu liputan Internet di kawasan Parlimen Julau.
Menurut Fahmi, liputan 4G di kawasan berpenduduk Julau telah mencapai 58.28 peratus. Sebanyak 43 daripada 48 menara komunikasi baharu telah siap dibina, manakala 44 stesen pemancar dinaik taraf.
“Sebanyak 1,391 premis juga telah mendapat capaian gentian optik,“ tambahnya.
Bagi teknologi 5G, pelaksanaannya di Julau masih dalam pertimbangan kerana keutamaan diberikan kepada kawasan bandar dan perindustrian. Namun, liputan 5G ke kawasan luar bandar akan dilaksanakan secara berperingkat.
Kerajaan negeri Sarawak turut memainkan peranan melalui inisiatif SMART 600 dengan 29 menara sudah beroperasi. MCMC juga bekerjasama dengan Sarawak Digital Economy Corporation (SDEC) bagi mempercepatkan kesalinghubungan komunikasi di negeri itu. - Bernama