KUCHING: Dua daerah di selatan Sarawak iaitu Lundu dan Tebedu dilaporkan mengalami kemerosotan kualiti udara akibat jerebu rentas sempadan. Menurut Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar (NREB) Sarawak, bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) setakat 8 pagi menunjukkan Lundu berada dalam kategori tidak sihat (IPU 125) manakala Tebedu pada paras sederhana (IPU 69).
“Kebanyakan titik panas dikesan berdekatan Lundu dan Tebedu,“ jelas NREB dalam kenyataan hari ini, merujuk data dari Pusat Meteorologi Khusus ASEAN (ASMC). Trajektori asap dari negara jiran dijangka memberi kesan jerebu sederhana di barat Sarawak dalam tempoh 72 jam.
Sebagai langkah proaktif, NREB menjalankan pemantauan menggunakan dron di kawasan berisiko seperti tanah gambut dan tapak pelupusan sampah. “Kaedah ini berkesan mengurangkan titik panas di Sarawak berbanding negara jiran,“ tambah kenyataan itu.
Orang ramai dinasihatkan mengelak pembakaran terbuka dan melaporkan sebarang insiden kepada NREB. Maklumat IPU akan dikemas kini secara berkala untuk tindakan lanjut termasuk penutupan sekolah jika perlu. - Bernama