KUANTAN: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Pahang menghantar pulang 60 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia ke negara asal mereka pada Sabtu.

JIM Pahang dalam satu kenyataan menerusi Facebook rasminya memaklumkan kesemua PATI yang dihantar pulang terdiri daripada 46 lelaki dan 14 wanita.

Menurut kenyataan itu, penghantaran menggunakan perkhidmatan feri dari Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Melaka ke Pelabuhan Dumai, Indonesia.

“Kesemua PATI adalah tahanan dari Depot Imigresen Kemayan, Bera yang telah selesai menjalani hukuman atas pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63, Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 dan pelbagai kesalahan-kesalahan yang diperuntukan dalam Malaysia,” menurut kenyataan tersebut.

Program pemindahan PATI yang dikendalikan Depot Imigresen Kemayan ini, merupakan sebahagian daripada aktiviti penguatkuasaan yang dijalankan secara berterusan oleh JIM Pahang.