KLANG: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Zon Tengah II (Selangor) merampas beras, sisa elektronik (e-waste), rokok dan tembakau sedut bernilai lebih RM10 juta dalam serbuan berasingan di Pelabuhan Barat di sini dan di sekitar Selangor baru-baru ini.

Penolong Ketua Pengarah JKDM Zon Tengah Norlela Ismail berkata beras seberat 18,500 kilogram (kg) bernilai RM169,400 itu ditemukan selepas pihaknya menyerbu sebuah kontena di Pelabuhan Barat pada Julai lepas yang dipercayai dibawa masuk tanpa permit import.

Beliau berkata beras yang dipercayai dibawa masuk dari Pakistan itu adalah untuk kegunaan pasaran tempatan dengan diikrarkan sebagai kacang gajus dan beras basmati parboiled.

“Beras dikategorikan sebagai barang larangan ... pengimportan tertakluk kepada permit import yang dikeluarkan Padiberas Nasional Berhad (BERNAS) berdasarkan Butiran 25, Bahagian I, Jadual 3, Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2023,“ katanya pada sidang media di sini hari ini.

Dalam kes berasingan, Norlela berkata pihaknya turut menggagalkan cubaan menyeludup 300,000 kg e-waste bernilai RM1.65 juta hasil pemeriksaan terhadap 13 kontena di Pelabuhan Barat pada September.

Beliau berkata siasatan awal mendapati e-waste terbabit cuba diseludup ke Malaysia dari sebuah negara di Eropah tanpa sebarang dokumen kelulusan dengan diikrarkan sebagai aloi aluminium bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

Beliau berkata e-waste dikategorikan sebagai bahan buangan dengan pengimportannya memerlukan kelulusan di bawah Basel Convention on the Control of Transboundary Movement of Hazardous Wastes and Their Disposals.

“Siasatan juga mengesahkan bahawa pengimportan bahan buangan terjadual kod SW110 hendaklah mendapat kelulusan bertulis daripada Jabatan Alam Sekitar,“ katanya.

Dalam pada itu, Norlela berkata pihaknya turut merampas 728,972 batang rokok putih dan kretek bernilai RM608,803 dalam operasi berasingan pada 22 dan 24 Okt serta 8 Nov lepas.

Beliau berkata kontraban terbabit ditemukan di tiga premis kediaman tidak berpenghuni di sekitar Hulu Langat, Kajang dan Bandar Sri Damansara.

“Rokok-rokok disyaki milik sindiket berbeza di rumah-rumah yang dipercayai dijadikan sebagai tempat simpanan sebelum diedarkan untuk pasaran tempatan itu telah disita bagi tindakan lanjut,“ katanya.

Sementara itu, Norlela berkata pada 5 Nov JKDM Selangor dengan kerjasama cawangan siasatan khas JKDM Ibu Pejabat turut menyita 100 beg plastik disyaki mengandungi tembakau sedut seberat 3,000 kg dengan anggaran nilai RM8.44 juta hasil pemeriksaan terhadap sebuah kontena di Pelabuhan Barat.

“Kontena telah diikrarkan secara tidak betul dengan mengikrar dagangan sebagai ‘pelbagai barang campur’ di dalam Borang Kastam 1 bagi tujuan mengelak dikesan JKDM,“ katanya.

Kesemua kes katanya, disiasat di bawah Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967 manakala kes melibatkan rokok disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) atas kesalahan menyimpan barangan tidak berkastam atau larangan.