GEORGE TOWN: Seorang pekerja asing maut selepas ditimpa bumbung zink ketika memindahkan bumbung berkenaan dari lori ke dalam tapak pembinaan sebuah dewan serba guna di Simpang Ampat, dekat sini Isnin lepas.
Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Pulau Pinang Hairozie Asri berkata pihaknya ke lokasi kejadian selepas menerima maklumat dan mendapati mangsa lelaki berusia 28 tahun itu merupakan pekerja daripada syarikat subkontraktor yang dilantik untuk menjalankan kerja-kerja memasang bumbung di dewan serba guna terbabit.
“Mangsa dilaporkan telah dihempap oleh bumbung zink yang dipindahkan dari lori dengan menggunakan kren bergerak dan ikatan yang mengikat bumbung itu pada cangkuk kren telah terbuka ketika kerja-kerja mengubah dijalankan.
“Ia menghempap lelaki itu yang berada berdekatan dengan lori membawa bumbung ke tapak pembinaan berkenaan. Mangsa segera dibawa ke hospital berdekatan dan disahkan meninggal dunia di hospital pada hari yang sama,“ katanya dalam kenyataan hari ini.
Sehubungan dengan itu, Hairozie berkata pihaknya mengeluarkan notis pemberhentian serta-merta bagi kerja-kerja di kawasan kejadian di tapak pembinaan berkenaan sehingga siasatan selesai dijalankan sementara mengarahkan majikan untuk menjalankan siasatan dalaman bagi mengenal pasti punca kejadian, langkah penambahbaikan dan membuat pembentangan kes kepada JKKP Pulau Pinang.
JKKP Pulau Pinang akan menjalankan siasatan susulan dengan mendapatkan dokumen berkaitan dan tindakan perundangan di bawah Seksyen 15(1) Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 (Pindaan) 2022 akan diambil sekiranya berlaku pelanggaran di bawah akta itu.