• 2025-09-11 10:54 AM

KUALA LUMPUR: Jabatan Logistik dan Teknologi (JLog) Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bukit Aman berjaya melengkapkan Projek Pembangunan Komunikasi Satelit X-Band yang mampu mengekalkan fungsi komunikasi dalam situasi bencana, kawasan pedalaman, sempadan atau ketika rangkaian awam tergendala.

Ketua Polis Negara Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata projek pembangunan sistem komunikasi itu dijalankan oleh jabatan berkenaan sejak Januari 2022 dan siap sepenuhnya pada 31 Dis tahun lepas.

“Satelit X-Band yang dipasang di dalam sebuah bas khas dilengkapi dengan sistem kawalan, capaian data serta komunikasi masa nyata (real time). (Teknologi ini) membolehkan penyelarasan operasi dapat dilaksanakan dengan lebih cekap sebagai force multiplier kepada PDRM bagi meningkatkan keberkesanan tugas di lapangan,“ katanya pada Perhimpunan Bulanan Ketua Polis Negara bagi September 2025 di sini hari ini.

Turut hadir, Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay dan Pengarah JLog Bukit Aman CP Gilbert Philip Layang.

Menurut beliau, simbolik pelancaran aset teknologi terbaharu Satelit X-Band itu diadakan pagi ini sebagai manifestasi kesiapsiagaan PDRM terhadap cabaran keselamatan negara.

Dalam ucapannya, Mohd Khalid turut menzahirkan rasa syukur kerana PDRM berjaya mengekalkan tahap keselamatan dan keamanan negara, selain menerima sokongan berterusan daripada kerajaan.

“Alhamdulillah, kini kita sudahpun berada pada penghujung suku ketiga 2025, hanya tinggal beberapa bulan sahaja lagi untuk memastikan semua perancangan dan hala tuju dapat direalisasikan,” katanya.

Bersempena dengan sambutan Hari Malaysia tidak lama lagi, beliau menyeru kepada seluruh warga PDRM supaya meningkatkan taat setia kepada negara dan pasukan, selain berpegang teguh kepada lima prinsip Rukun Negara dalam mengekalkan keamanan dan keharmonian negara- BERNAMA