KUALA LUMPUR: Kementerian dan agensi yang terlibat dalam pengurusan sisa plastik perlu disusun semula bagi memastikan pendekatan pelupusan lebih terselaras dan berkesan, kata Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Johari Abdul Ghani.
Beliau yang juga menjalankan tugas sebagai Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam berkata, pengurusan sisa plastik kini melibatkan pelbagai agensi dengan bidang kuasa berbeza, termasuk Jabatan Alam Sekitar (JAS), Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), serta Jabatan Kastam Diraja Malaysia.
“Saya setuju bahawa kita perlu menyusun semula kementerian-kementerian yang terlibat dalam pengurusan sisa plastik. Kalau kita lihat dalam negara kita, JAS satu pihak, Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal, MITI yang mengeluarkan peraturan Operasi Agensi (POA). Jadi keempat-empat ini mempunyai bidang kuasa yang sangat berbeza,“ katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Johari menekankan keperluan kerjasama lebih erat antara agensi bagi memastikan pengurusan sisa plastik lebih efektif.
Beliau turut mencadangkan supaya semua syarikat kitar semula plastik didaftarkan di bawah MITI bagi memudahkan pemantauan operasi mereka.
“Melalui cara ini, syarikat yang dilesenkan oleh MITI boleh dipantau ketika memperbaharui lesen secara tahunan, dengan setiap permohonan perlu disertakan penyata akaun yang telah diaudit termasuk jumlah jualan, kadar eksport dan destinasi pasaran,“ jelasnya.
Beliau juga menyuarakan kebimbangan mengenai sisa plastik dari negara maju yang hanya diproses sekitar 10 hingga 20 peratus, manakala selebihnya dibuang ke tapak pelupusan.
“Akhirnya kita yang terpaksa menanggung kos tinggi untuk menguruskan tapak pelupusan ini, sedangkan negara-negara asal tidak membayar apa-apa untuknya,“ katanya.
Cadangan ini diharap dapat meningkatkan ketelusan dalam industri kitar semula serta mengurangkan masalah lambakan sisa plastik di Malaysia. – Bernama