KULAI: Kerajaan Johor sedang merangka pelan tindakan untuk mengurangkan kesan kenaikan kos sara hidup, terutamanya di Johor Bahru.
Langkah ini dibincangkan dalam mesyuarat bersama Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) baru-baru ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia negeri, Lee Ting Han, berkata fokus utama termasuk memperluas perkhidmatan pengangkutan awam seperti Bas Muafakat Johor serta mencari penyelesaian bagi mengurangkan beban rakyat akibat kenaikan harga barang keperluan.
“Berkaitan perumahan, kita sedar kos sewa semakin tinggi, terutama di Johor Bahru. Seperti diumumkan Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi, pembinaan rumah mampu milik akan dipercepatkan menjelang 2030,“ katanya selepas menghadiri Majlis SIRIM Silaturasa 2025 di SIRIM Johor.
Lee menambah, sasaran 100,000 unit rumah mampu milik akan dibina di Johor dalam tempoh tersebut.
Beliau juga menyatakan bahawa pengumuman lanjut akan dibuat oleh Menteri Besar sempena Belanjawan Johor 2026 pada November ini.
Kerajaan negeri turut memantau kebimbangan rakyat melalui sesi turun padang dan maklum balas di media sosial.
“Kami fahami kebimbangan ini, terutamanya memandangkan ekonomi Johor sedang berkembang pesat,“ jelasnya.
Sebelum ini, Onn Hafiz menyatakan bahawa kos sara hidup di Johor Bahru kini lebih tinggi berbanding beberapa bandar utama lain di Malaysia. - Bernama