• 2025-10-05 02:57 PM

KUALA NERANG: Kerajaan disaran memudahkan proses bagi membolehkan golongan muda luar bandar memperoleh lesen memandu untuk menikmati manfaat inisiatif BUDI MADANI RON95.

Pengerusi Persatuan Anak Muda MADANI Kedah Datuk Zuraidi Rahim berkata ramai anak muda luar bandar belum memiliki lesen memandu walaupun mempunyai kemahiran asas menunggang motosikal.

Beliau menyatakan golongan ini tidak layak membeli petrol RON95 pada harga RM1.99 seliter melalui inisiatif BUDI95 yang diwujudkan untuk membantu rakyat.

“Saya nak cadang kepada Jabatan Pengangkutan Jalan agar laksana pendekatan lebih mudah dengan menyediakan program bagi proses pengambilan lesen oleh golongan ini,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Zuraidi mencadangkan program tertentu boleh dilaksanakan JPJ di kawasan luar bandar bagi memudahkan golongan muda melengkapkan proses ujian dan latihan.

Beliau mencadangkan program khas bersama JPJ untuk mengumpulkan anak muda tanpa lesen dan memberikan mereka kursus amali diikuti ujian.

Langkah ini dapat memastikan lebih ramai belia memiliki lesen memandu yang sah untuk menikmati manfaat subsidi petrol bersasar.

Inisiatif tersebut juga akan mengelakkan mereka melanggar undang-undang jalan raya ketika menunggang motosikal.

Zuraidi turut mencadangkan kerajaan menyalurkan peruntukan kepada semua Persatuan Ibu Bapa dan Guru di seluruh negara.

Beliau berkata banyak PIBG kini hanya bergantung pada sumbangan individu atau pihak tertentu untuk menganjurkan program.

“Kita kena tetapkan syarat, penyaluran peruntukan kepada PIBG perlu dilaksanakan secara berstruktur,” katanya.

PIBG perlu menyediakan kertas kerja program tahunan bagi memastikan mereka mempunyai perancangan yang teratur.

Cadangan ini bertujuan memastikan PIBG dapat menjalankan aktiviti bersesuaian bagi pelajar sekolah dengan lebih efektif. – Bernama