ALOR SETAR: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kedah kini menggunakan taktik penyamaran untuk memantau pemakaian tali pinggang keledar dalam bas ekspres dan persiaran. Langkah ini diambil selepas penguatkuasaan penuh bermula semalam.
Pengarah JPJ Kedah, Stien Van Lutam, berkata kaedah penyamaran membolehkan pegawai mengesan pelanggaran secara langsung dan mengeluarkan kompaun serta-merta.
“Penguatkuasaan bukan hanya di terminal atau hentian rehat, tetapi juga melalui penyamaran. Jika ada penumpang atau pemandu tidak memakai tali pinggang keledar, kompaun akan dikeluarkan jika ada bukti visual,“ katanya semasa Ops Pemakaian Tali Pinggang Keledar di Plaza Tol Alor Setar Utara.
Dalam operasi petang semalam, 18 bas diperiksa dengan 16 kompaun dan dua notis peringatan dikeluarkan. JPJ turut mendapati banyak tali pinggang keledar dalam bas tidak berfungsi dengan baik.
“Kami ingatkan pemandu bas agar pastikan kemudahan tali pinggang keledar berfungsi. Tidak adil jika kami saman, tetapi alatnya rosak,“ tambah Stien.
Penguatkuasaan ini selaras dengan Kaedah-Kaedah Kenderaan Motor (Tali Pinggang Keledar dan Sistem Kekangan Kanak-Kanak) 1978 Pindaan 2008.