• 2025-07-23 08:34 PM

KLANG: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah mengeluarkan 1,194 saman terhadap pemandu dan penumpang bas di seluruh negara menerusi Op Khas Pemakaian Tali Pinggang Keledar yang bermula 1 Julai lalu.

Daripada jumlah itu, 1,108 saman dikenakan kepada penumpang, diikuti pemandu (62) dan 24 kes melibatkan kegagalan memasang tali pinggang keledar.

Ketua Pengarah JPJ Datuk Aedy Fadly Ramli berkata antara alasan yang diberikan termasuk tidak tahu pemakaian tali pinggang keledar diwajibkan, walaupun penguatkuasaan mengenainya telah diwartakan.

“Alasan ini tidak dapat diterima kerana kebanyakan pengendali bas dan pemandu sudah membuat pengumuman atau meletakkan notis mengingatkan penumpang,“ katanya selepas melawat kilang pembuatan badan bas Pioneer Coachbuilder Sdn Bhd di Telok Gong.

Aedy Fadly menegaskan pelancong atau bukan warganegara juga tidak akan terlepas daripada tindakan sekiranya melakukan kesalahan sama. Namun, beliau memuji peningkatan kadar pematuhan pemakaian tali pinggang keledar dalam bas ekspres dan persiaran berbanding sebelum ini. “Kita nampak pematuhan makin meningkat, penumpang juga semakin faham kepentingannya,“ ujarnya. - Bernama