BUKIT MERTAJAM: Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) akan menyalurkan bantuan sewajarnya kepada keluarga penuntut Politeknik Sultan Abdul Halim Muadzam Shah (Polimas) Muhamad Amsyar Muqri Mohd Asri yang meninggal dunia akibat kemalangan.
Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan) JPPKK Dr Shamsuri Abdullah menyatakan bantuan tersebut merangkumi aspek kewangan, sokongan psikologi dan moral kepada keluarga mangsa.
Beliau memaklumkan pihak Polimas telah menghubungi keluarga mangsa untuk memberikan segala bentuk sumbangan yang diperlukan dalam menghadapi tragedi ini.
“Lazimnya apabila berlaku tragedi sebegini memang kami akan bersama-sama keluarga untuk memberi sokongan dan bantuan yang termampu,“ katanya ketika ditemui pemberita.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Konvokesyen Politeknik Seberang Perai Kali Ke-24 yang turut dihadiri Pengarah PSP Mohd Ruzi Hamzah.
Tragedi tersebut berlaku ketika mangsa dan tiga rakannya menaiki mesin padi yang terjatuh ke dalam sungai di Kampung Sanglang, Jitra pada Sabtu lepas.
Muhamad Amsyar Muqri yang berusia 18 tahun dilaporkan lemas dalam kejadian berkenaan manakala tiga rakannya berjaya diselamatkan.
Mayat mangsa ditemui oleh anggota Pasukan Penyelamat Di Air pada pukul 10.01 pagi semalam di dasar sungai berkedalaman empat meter.
Lokasi penemuan mayat tersebut terletak kira-kira 10 meter dari tempat mangsa dilaporkan terjatuh. – Bernama