BUKIT MERTAJAM: Seorang jurutera yang bekerja di negara Timur Tengah kerugian lebih RM1.5 juta selepas terperdaya dengan sindiket penipuan pelaburan dalam talian yang tidak wujud di sini baru-baru ini.
Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Hamzah Ahmad berkata Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Tengah menerima aduan daripada lelaki tempatan berusia 40 tahun itu semalam.
“Menurut mangsa, dia berkenalan dengan seorang wanita melalui telefon pada November tahun lepas dan sejak itu mereka menjalin hubungan cinta sebelum suspek mengajaknya menyertai pakej pelaburan yang menjanjikan pulangan lumayan.
“Mangsa berminat untuk melabur dan diberikan nombor perkhidmatan pelanggan serta pautan laman web pelaburan itu untuk mendaftar, seterusnya mangsa melabur RM90,510 dan menerima keuntungan RM108,611,” katanya dalam kenyataan malam ini.
Hamzah berkata mangsa yang yakin dengan pelaburan itu melakukan 103 transaksi ke 31 akaun berbeza membabitkan jumlah keseluruhan RM1,532,563 sejak 2 Dis hingga 8 Mac lepas, namun hanya menyedari menjadi mangsa penipuan selepas gagal mengeluarkan keuntungan pelaburan RM4,131,671 melalui aplikasi berkenaan.
Beliau memaklumkan mangsa juga diminta untuk membuat tambahan modal bagi membolehkan mengeluarkan keuntungan yang diperoleh dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.