GEORGE TOWN: Seorang jurutera wanita di sebuah kilang di Bayan Lepas dekat sini kerugian RM336,760 selepas terpedaya dengan sindiket penipuan telefon atau phone scam yang menyamar sebagai pegawai Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan polis, baru-baru ini.
Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Hamzah Ahmad berkata mangsa berusia 35 tahun itu menerima panggilan telefon daripada nombor tidak dikenali ketika sedang bekerja pada 25 Mac lepas.
“Seorang lelaki yang menghubungi mangsa memperkenalkan diri sebagai wakil MCMC dan mendakwa nombor telefon milik wanita itu telah digunakan dalam 33 laporan polis berkaitan pelbagai jenayah, sebelum panggilan itu disambungkan kononnya ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak.
“Individu yang menyamar sebagai pegawai polis itu mendakwa mangsa terlibat dalam kes pengubahan wang haram dan diarahkan menyerahkan semua wang miliknya untuk tujuan siasatan.
“Mangsa diberi jaminan bahawa wang tersebut akan dipulangkan selepas siasatan selesai. Malah, suspek turut mengugut akan mengeluarkan waran tangkap sekiranya arahan tidak dipatuhi,“ katanya dalam kenyataan hari ini.
Hamzah berkata mangsa yang ketakutan dengan ugutan itu telah mengikut arahan suspek dan memindahkan wang secara dalam talian serta melalui deposit tunai ke dalam 14 akaun bank berbeza dari 25 Mac hingga 9 Jun lepas, sehingga kesemua wang simpanannya habis.
Beliau berkata suspek masih menuntut bayaran tambahan dan mangsa yang menyedari dirinya telah ditipu bertindak membuat laporan polis semalam.
Katanya kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan menipu.