WASHINGTON: Juruterbang pesawat kecil yang menarik perhatian Tentera Udara Amerika Syarikat dekat Washington pada Isnin dilaporkan pengsan di tempat duduknya ketika masih dalam penerbangan, lapor agensi berita Jerman (dpa).

Pesawat awam Cessna 560 Citation V, yang berlepas dari bandar Tennessee, Elizabethton, terhempas di selatan ibu negara AS, mengorbankan empat orang di dalamnya.

Pada Selasa, media tempatan termasuk penyiar CNN, melaporkan bahawa juruterbang Tentera Udara AS ternampak juruterbang itu dalam keadaan tidak sedar diri, memetik sumber tidak dinamakan yang biasa dengan kejadian itu.

Penyiasat nahas kini mengkaji kekurangan oksigen sebagai kemungkinan punca nahas itu.

Jet pejuang F-16 memintas pesawat ringan itu pada Isnin ketika ia terbang di ruang udara Washington dan utara Virginia, kata Komando Pertahanan Aeroangkasa Amerika Utara dalam satu kenyataan.

Jet pejuang Tentera Udara menggunakan suar untuk menarik perhatian juruterbang. Dentuman kuat kedengaran di Washington dan negeri jiran Virginia dan Maryland ekoran jet pejuang itu mencapai kelajuan supersonik. - Bernama