• 2025-08-08 04:20 PM

KUALA LUMPUR: Pemain perseorangan lelaki negara Justin Hoh bakal merasai pengalaman latihan di Denmark buat kali pertama.

Beliau akan berlatih bersama pemain terbaik dunia di Copenhagen sebagai persiapan menghadapi Kejohanan Dunia 2025 di Paris.

Baru sahaja menamatkan kempen Terbuka Macau 2025 sebagai naib juara, Justin menganggap latihan ini sebagai peluang berharga.

“Ini pengalaman pertama saya berlatih dalam suasana berbeza dan saya mahu manfaatkannya sepenuhnya,” katanya.

Justin berhasrat untuk mempelajari disiplin tinggi yang menjadi kunci kejayaan pemain Denmark.

“Saya perlu belajar disiplin mereka, baik di dalam mahupun di luar gelanggang,” jelasnya selepas sesi latihan di sini.

Ahad lepas, impiannya meraih gelaran sulung Siri Jelajah Dunia BWF Super 300 tidak kesampaian selepas tewas kepada Alwi Farhan dari Indonesia.

Bulan lepas, Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mengumumkan skuad perseorangan negara akan berlatih di Copenhagen selama lima hari.

Latihan itu bermula dari 18 hingga 22 Ogos sebagai persiapan akhir sebelum Kejohanan Dunia 2025 di Paris.

Selain Justin, kem latihan itu turut disertai Leong Jun Hao dan K. Letshanaa.

Justin lega dapat menamatkan kemarau prestasi dengan mara ke final di Macau meskipun musim ini kurang cemerlang.

Beliau kini berada di tangga ke-37 dunia dan bercita-cita menembusi kelompok 32 terbaik hujung tahun ini - Bernama