KUALA LUMPUR: Ekonomi Malaysia dijangka berkembang pada kadar sederhana pada 2026 meskipun berdepan ketidakpastian perdagangan global yang kian meningkat serta permintaan luaran yang perlahan, kata Kementerian Kewangan (MOF).
Dalam Kenyataan PraBelanjawan 2026 hari ini, kementerian itu berkata pertumbuhan berkenaan didorong oleh permintaan domestik yang berdaya tahan, terutamanya melalui pelaburan swasta, pekerjaan yang stabil dan langkah peningkatan pendapatan seperti bantuan tunai bersasar dan kenaikan gaji.
Sektor pelancongan yang dipacu oleh Tahun Melawat Malaysia 2026 juga dijangka menyumbang secara signifikan kepada pertumbuhan.
“Dalam konteks ini, Belanjawan 2026 akan mengutamakan pengukuhan sumber pertumbuhan domestik, kepelbagaian pasaran eksport dan meluaskan peluang pendapatan isi rumah.
“Pelaburan awam dipertingkat melalui projek-projek strategik di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) dan peningkatan pelaburan langsung domestik (DDI) oleh syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) melalui Program Pengaktifan dan Reformasi Syarikat Berkaitan Kerajaan (GEAR-uP), sekali gus mengukuhkan asas bagi daya tahan ekonomi yang inklusif dan mampan,” katanya.
Dalam suku pertama 2025, keluaran dalam negara kasar (KDNK) berkembang sebanyak 4.4 peratus, dipacu oleh penggunaan isi rumah, pelaburan dan sektor pembinaan.
Momentum ini, kata MOF, dijangka berterusan pada suku kedua 2025 dengan anggaran awal pertumbuhan sebanyak 4.5 peratus.
“Namun, ekonomi Malaysia 2025 kekal berdaya tahan dan dijangka berkembang 4-4.8 peratus walaupun berdepan perkembangan global yang tidak menentu,” katanya.
Inflasi kekal mereda kepada 1.1 peratus pada Jun 2025 berbanding 2.0 peratus pada sebelumnya iaitu kadar terendah dalam tempoh 52 bulan.
Pasaran buruh terus mengukuh dengan kadar pengangguran berkurang kepada 3.0% pada Mei 2025 berbanding 3.3% pada Mei 2024. Ini merupakan bulan kedua berturut-turut kadar pengangguran berada pada paras terendah sejak April 2015 mencerminkan momentum berterusan pewujudan pekerjaan dan pemulihan ekonomi. Bilangan penganggur menurun sebanyak 5.7% tahun ke tahun kepada 522,400 orang pada Mei 2025 berbanding 554,100 pada bulan yang sama tahun lalu
Dalam pada itu, pasaran buruh terus mengukuh dengan kadar pengangguran berkurangan kepada 3.0 peratus pada Mei 2025 berbanding 3.3 peratus pada Mei 2024.
Kerajaan, kata MOF, kekal komited ke arah konsolidasi fiskal untuk meneruskan sasaran mengurangkan defisit fiskal kepada 3.8 peratus pada 2025 berbanding 4.1 peratus tahun lepas dan meneruskan trend penurunan secara beransur daripada 5.0 peratus pada 2023 dan 5.5 peratus pada 2022.
Selain itu, hutang baharu Kerajaan Persekutuan berkurangan daripada RM99.4 bilion pada 2022 kepada RM92.6 bilion pada 2023.
Trend ini berterusan pada 2024 dengan jumlah hutang baharu sebanyak RM76.8 bilion.
Menyentuh mata wang, MOF berkata ringgit muncul sebagai antara mata wang berprestasi terbaik di Asia apabila mengukuh 5.8 peratus ke paras RM4.2270 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS).
“Walaupun berdepan persekitaran global yang mencabar, permintaan terhadap ringgit kekal disokong oleh asas ekonomi yang kukuh dan keyakinan pelabur,” kata kementerian itu.
Antara pelaksanaan pelbagai inisiatif strategik yang menunjukkan hasil ketara, termasuk mencatat pelaburan diluluskan berjumlah RM384.4 bilion pada 2024 yang juga tahun kedua berturut-turut bagi prestasi tertinggi pernah dicapai (2023: RM329.5 bilion).
Ini disusuli dengan pemberian penarafan kredit Malaysia yang kekal pada “A3” oleh Moody’s Investor Service, “A-” oleh S&P Global Ratings dan “BBB+” oleh Fitch Ratings dengan prospek “stabil.”
“Malaysia mencatat lonjakan terbesar dalam Laporan Daya Saing Dunia IMD 2025, naik 11 anak tangga ke kedudukan ke-23 daripada 69 negara yang merupakan pencapaian terbaik sejak 2020 dan satu-satunya negara mencapai peningkatan dua digit,” katanya.
Menurut MOF, program GEAR-uP yang diterajui oleh kementerian, telah menggerakkan DDI sebanyak RM11 bilion ke dalam sektor berpertumbuhan tinggi dan bernilai tinggi (HGHV) dan pada masa sama GLIC dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) telah memberi komitmen menyediakan gaji minimum wajar bulanan RM3,100 kepada 153,000 pekerja.
Dalam pada itu, kementerian berkata langkah kerajaan beralih daripada subsidi pukal kepada subsidi bersasar, meningkatkan peruntukan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) kepada RM15 bilion, termasuk pembayaran sekali RM100 dalam bentuk kredit SARA kepada semua golongan dewasa rakyat Malaysia berumur 18 tahun dan ke atas.
Daya tahan fiskal negara turut diperkukuh menerusi pelbagai langkah bagi memperluas asas cukai dan cukai baharu.
Peningkatan pembangunan infrastruktur termasuk Laluan Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) dan lanjutan Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) ke Johor Bahru, Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), RTS Link antara Johor Bahru dan Singapura manakala penjagaan kesihatan dan projek daya tahan iklim seperti Hospital Sultanah Aminah 2 dan projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Kota Bharu.
“Di Sabah dan Sarawak, keutamaan terus diberikan kepada akses jalan raya seperti Lebuhraya Pan Borneo, bekalan air bersih melalui Loji Rawatan Air Landeh, Sarawak dan sambungan luar bandar termasuk Pembinaan Pencawang Utama Bekalan Elektrik di Paitan, Sabah, untuk pembangunan yang lebih seimbang- BERNAMA