KUALA LUMPUR: Kabinet hari ini memutuskan bahawa anggota pentadbiran iaitu menteri dan timbalan menteri tidak boleh bertanding jawatan dalam persatuan sukan, kata Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Nik Nazmi Nik Ahmad.

Sehubungan dengan itu, beliau menarik diri daripada bertanding jawatan Presiden Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA).

“Saya akan terus komited menyokong KLFA membangunkan ekosistem bola sepak yang sihat dan menyokong kejayaan KL City FC sebagai pasukan bola sepak profesional,“ katanya menerusi hantaran dalam platform X hari ini.

Pada masa sama, katanya beliau akan terus menaungi kelab bola sepak Setiawangsa Rangers yang merupakan antara kelab gabungan KLFA yang diasaskan olehnya sejak 2018.

Sebelum ini, Ahli Parlimen Setiawangsa itu menamakan beberapa muka untuk menjawat posisi Ahli Jawatankuasa KLFA bagi mengemudi badan induk berkenaan menjelang pemilihan Exco baharu dalam Mesyuarat Agong Tahunan persatuan itu nanti.

Terdahulu, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil turut menawarkan diri untuk bertanding jawatan sebagai Presiden KLFA pada 7 September ini.