KOTA BHARU: Seorang kakitangan Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM) ditemukan meninggal dunia di dalam keretanya di hadapan sebuah kedai makan di Wakaf Stan dekat Kubang Kerian, di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu ACP Mohd Rosdi Daud berkata pihaknya menerima laporan berkaitan berkaitan seorang lelaki tidak sedarkan diri di dalam sebuah kereta jenis Honda City kira-kira 12.30 tengah hari.

“Siasatan awal pihak polis di tempat kejadian mendapati kenderaan dipandu oleh lelaki yang berusia berusia 48 tahun ke tempat kejadian untuk bersarapan.

Lelaki itu didapati telah meninggal dunia dalam dalam kenderaan seorang diri setelah selesai sarapan pagi di kedai makan berkenaan dan kejadian tidak melibatkan sebarang unsur jenayah,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata hasil pemeriksaan di dalam kereta si mati juga tidak menemukan sebarang kesan jenayah dan tidak menjumpai apa-apa barang yang menyalahi undang-undang.

Mohd Rosdi berkata mayat telah dibawa ke Unit Forensik, Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian untuk tujuan bedah siasat.

“Siasatan lanjut masih diteruskan dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut. Pihak polis memohon mana-mana individu yang melihat kejadian agar tampil ke balai polis bagi membantu siasatan.

Polis mengingatkan agar tiada mana-mana individu membuat sebarang spekulasi berhubung dengan kejadian ini demi menghormati privasi keluarga si mati,” katanya. - Bernama