• 2025-07-25 03:12 PM

KOTA BHARU: Siapa menyangka sebuah hiasan dinding ayat al-Quran yang diukir menggunakan kayu lapis tempatan mampu menarik minat pembeli dari seluruh Asia Tenggara.

Inilah rezeki yang diraih Muhammad Ali Che Pa, 31, yang bangkit memanfaatkan bakat seninya selepas diberhentikan kerja sebagai wakil jualan produk kesihatan pada 2020, susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Saya buntu mencari sumber pendapatan ketika itu. Dari situ saya terdetik untuk mencipta hiasan dinding yang menampilkan tulisan ayat-ayat al-Quran, menggunakan kayu sedia ada di rumah,” katanya kepada Bernama di bengkelnya di Kampung Pangkal Kalong, Kok Lanas di sini, baru-baru ini.

Berbekalkan minat mendalam dan ilmu daripada Facebook serta YouTube, beliau mengambil masa enam bulan sebelum berjaya menghasilkan ukiran pertama dan tidak disangka hasil pertamanya itu terjual pada harga RM150 selepas dimuat naik di Facebook.

Kini, graduan Ijazah Pengurusan Islam Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) itu menghasilkan pelbagai produk ukiran kayu bertemakan islamik daripada bingkai kaligrafi, jam dinding sehingga hiasan dekorasi rumah yang menjadi buruan pelanggan dari Malaysia, Indonesia, Brunei, dan Singapura.

“Kayu lapis atau plywood paling sesuai kerana mudah dipotong dan dibentuk. Saya akan melakar rekaan atas kertas sebelum ditekap kepada kayu, diikuti proses mengukir dan melicinkan permukaan dengan kertas pasir,” jelasnya.

Namun pada awalnya, kerja ukir secara manual mengambil masa hingga empat hari bagi satu produk ringkas, selain mengehadkan pengeluaran kepada hanya 15 produk sebulan.

Menyedari keperluan untuk meningkatkan produktiviti, Muhammad Ali beralih kepada teknologi mesin laser sejak dua tahun lepas dan ia bukan sahaja mempercepat proses penghasilan, malah menaikkan kualiti ukiran bagi memenuhi permintaan pelanggan yang inginkan ketelitian halus.

Beliau turut menerima bantuan mesin penghala kayu (CNC) bernilai RM10,000 daripada RISDA Kelantan di bawah program bimbingan usahawan.

Dalam masa terdekat, beliau bakal menerima sebuah lagi mesin laser cut bagi menambah keupayaan pengeluaran.

Dengan adanya teknologi itu, Muhammad Ali kini mampu menghasilkan lebih 300 produk sebulan yang dijual pada harga serendah RM3 hingga mencecah RM800 seunit.

Pendapatannya juga melonjak kepada lima angka sebulan, hasil permintaan tinggi produk ukiran ayat-ayat al-Quran yang menjadi pilihan utama dekorasi rumah moden.

“Setiap rekaan mempunyai nilai tersendiri. Saya bersyukur kerana melalui seni ukir ini, saya dapat menyebarkan keindahan ayat al-Quran sambil mencari rezeki yang halal dan berkat,” katanya yang dibantu sepenuhnya oleh isterinya, Nur Hanisah Mohd Zulkifli, 27.

Dengan jenama Art Lie Craft, Muhammad Ali membuktikan bahawa seni ukiran kayu bukan sekadar karya dekorasi ia juga mampu menjadi asbab rezeki jika diusahakan dengan tekun dan penuh keikhlasan - BERNAMA