DUNGUN: Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) berjaya menangkap seekor beruang matahari yang berkeliaran di Kampung Padang Ping sejak minggu lepas. Beruang jantan dewasa seberat 110 kilogram itu memasuki perangkap yang dipasang pagi semalam.
Pengarah Perhilitan Terengganu Loo Kean Seong berkata haiwan tersebut tidak mengalami kecederaan dan telah dilepaskan ke habitat semula jadi petang semalam. “Kita menerima aduan daripada penduduk kampung mengenai kehadiran beruang yang berkeliaran di sekitar kampung dan kawasan kebun kelapa sawit sehingga menimbulkan kebimbangan orang ramai,“ katanya.
Beliau menambah, pihaknya bertindak pantas dengan memasang perangkap sebaik menerima laporan. “Sebaik menerima laporan, kita telah memasang perangkap dan berjaya menangkap haiwan itu semalam,“ jelas Loo.
Perhilitan turut mengingatkan orang ramai agar tidak mengambil tindakan sendiri sekiranya terserempak dengan haiwan liar. Sebaliknya, mereka dinasihatkan melaporkan kejadian tersebut kepada pihak berkuasa untuk tindakan lanjut - Bernama