• 2025-07-02 02:02 PM

BUTTERWORTH: Kastam Pulau Pinang berjaya merampas pelbagai jenis rokok dan minuman keras bernilai RM2.67 juta dalam dua operasi berasingan baru-baru ini. Dua lelaki turut ditahan dalam serbuan tersebut.

Pengarah Kastam Pulau Pinang, Rohaizad Ali, berkata dalam operasi pertama, pasukan kastam menjalankan pemeriksaan terhadap sebuah lori yang diparkir di sebuah taman perumahan di Bukit Mertajam pada 6 Mei lalu.

“Kami menemui rokok putih dan rokok kretek yang disyaki tidak dikenakan cukai. Seramai dua lelaki berusia 20-an dan 30-an ditahan kerana dipercayai terlibat sebagai pemandu dan kelindan lori tersebut,“ katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Menurut Rohaizad, jumlah rokok yang dirampas ialah 1.32 juta batang dengan nilai pasaran RM431,504. Jumlah cukai yang sepatutnya dikenakan mencecah RM1.34 juta.

“Kami percaya rokok ini diseludup dari negara jiran untuk dipasarkan di negeri-negeri utara. Siasatan sedang dijalankan untuk mengesan rangkaian sindiket ini,“ tambahnya.

Dalam operasi kedua pada 9 Mei lalu, kastam menyerbu sebuah rumah di Butterworth dan merampas pelbagai minuman keras bernilai RM236,737.20. Jumlah cukai yang terlibat ialah RM663,027.03.

“Kami menemui 15,288 tin bir dan 13,820 botol liquor di rumah itu. Tiada individu ditemui semasa serbuan, tetapi pemilik rumah mendakwa dia menyewakan premis tersebut kepada seorang individu,“ jelas Rohaizad.

Kedua-dua kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.