Your Title

BUKIT KAYU HITAM: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kedah berjaya menumpaskan aktiviti sindiket penyeludupan dadah jenis Methamphetamine seberat 110 kilogram (kg) yang dianggarkan bernilai RM3.52 juta di Kampung Tok Kun dekat Pokok Sena, Rabu lepas.

Pengarahnya Nor Izah Abdul Latiff berkata berdasarkan maklumat risikan, sepasukan pegawai JKDM Cawangan penguatkuasaan Bukit Kayu Hitam bersama pasukan elit Customs Operational Battle Force Response Assault (COBRA) mengesan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) yang mencurigakan bergerak laju dari Taman Bandar Sejahtera menghala ke Jalan Kampung Tok Kun, Pokok Sena, kira-kira 8.30 pagi.

“Menyedari kenderaan mereka dikesan, suspek bertindak terjun dari kenderaan yang masih bergerak dan cuba melarikan diri ke dalam kebun getah berhampiran, namun tindakannya gagal apabila dia diberkas.

“Pemeriksaan yang dijalankan pada kenderaan itu menemui empat guni besar pelbagai warna tersorok di bahagian belakang kenderaan dan beberapa bungkusan berlabel teh cina yang di dalamnya dipercayai mengandungi dadah jenis Methamphetamine,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Katanya, anggaran berat Methamphetamine yang dirampas adalah 110 kg dengan anggaran nilai RM3.52 juta.

Tambah beliau, suspek yang tidak mempunyai pengenalan diri telah ditahan untuk siasatan lanjut.

Nor Izah berkata, siasatan awal mendapati, dadah tersebut dipercayai untuk dibawa ke pasaran gelap di Lembah Klang dan kenderaan yang dipandu disewa dari sebuah syarikat.

Beliau berkata, pihaknya percaya modus operandi sindiket adalah dengan menggunakan kereta mewah bagi mengaburi pihak berkuasa.

Menurutnya, rampasan tersebut merupakan yang terbesar bagi JKDM Kedah pada tahun ini. Suspek ditahan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan direman selama 12 hari bermula 5 Dis lepas untuk siasatan lanjut.