KOTA KINABALU: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Zon Sabah merampas 20,393 gram dadah jenis methamphetamine dianggarkan bernilai lebih RM600,000 yang cuba diseludup melalui pesawat penumpang, 30 Julai lepas.

Penolong Ketua Pengarah berkenaan Siti Mang berkata rampasan itu dibuat di Lapangan Terbang Tawau pada 12.30 tengah hari dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) pada 1 tengah hari.

Beliau berkata pihaknya turut menahan dua lelaki tempatan disyaki keldai dadah berumur 18 dan 29 tahun.

“Modus operandi kes ini adalah menggunakan bungkusan plastik berwarna hijau jenama Guanyinwang yang diseludup masuk melalui kapal terbang penumpang bagi mengelirukan pihak berkuasa,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati mandatori atau penjara seumur hidup, jika sabit kesalahan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung sebarang aktiviti penyeludupan diminta menghubungi talian bebas tol 1-800-88-8855 atau pejabat kastam terdekat.