PUTRAJAYA: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) terus komited untuk memberikan perkhidmatan penjagaan dan perlindungan yang terbaik kepada mangsa pemerdagangan orang.

KPWKM akan terus bergerak seiring dengan Pejabat Nasional Strategik, Majlis Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (MAPO) dalam memperkasakan sistem keadilan demi membanteras pemerdagangan orang dan melindungi golongan yang berisiko.

“Melalui komitmen dan sokongan padu daripada semua pihak, KPWKM yakin Malaysia akan terus cemerlang dalam membanteras eksploitasi dan pemerdagangan orang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pada 25 Jun lepas, Malaysia telah dinaik taraf ke kedudukan Tahap 2 (Tier 2) dalam Laporan Jabatan Negara Amerika Syarikat (JNAS) mengenai Pemerdagangan Orang 2024 yang diumumkan di Washington, Amerika Syarikat.

KPWKM memaklumkan pencapaian berada di Tahap 2 merupakan suatu kejayaan yang terhasil daripada kerjasama strategik dan sinergi antara pelbagai pihak termasuk kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO), agensi antarabangsa dan pemegang taruh yang lain.

Sejak 2008, KPWKM telah mula mengendalikan Rumah Perlindungan Wanita dan Rumah Perlindungan Kanak-Kanak sebagaimana yang termaktub dalam Akta AntiPemerdagangan Orang dan AntiPenyeludupan Migran (Akta 670).

“Walau bagaimanapun, mulai 2012, penglibatan KPWKM dalam kitaran penyelamatan mangsa pemerdagangan telah diperluaskan kepada perlindungan dan penjagaan mangsa lelaki, selaras dengan usaha kerajaan bagi menangani isu eksploitasi buruh,” menurut kenyataan itu.

KPWKM memaklumkan bilangan Rumah Perlindungan (RP) di bawah kementerian ini telah meningkat kepada 10 buah rumah iaitu tujuh buah RP wanita, dua buah RP kanak-kanak serta sebuah RP lelaki.

“Melalui pembukaan RP ini perkhidmatan perlindungan dan penjagaan dapat diperluaskan di seluruh Malaysia termasuk Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Johor, Kelantan, Pulau Pinang dan Sabah,” menurut kenyataan itu.

Bermula 2021 sehingga Jun lepas, KPWKM telah memberikan perkhidmatan jagaan dan perlindungan kepada 839 mangsa lelaki, 340 mangsa kanak-kanak dan 1,340 mangsa wanita, manjadikan jumlah keseluruhan mangsa seramai 2,519 orang.

“Menyedari masalah halangan komunikasi yang lazimnya dihadapi oleh mangsa yang terdiri daripada warga asing, KPWKM menyediakan perkhidmatan penterjemah yang merangkumi 21 bahasa dan sesi penerangan undang-undang bagi membantu mangsa untuk bersedia dan memahami proses perbicaraan di mahkamah,” menurut KPWKM.\