KUALA NERANG: Operasi mencari dan menyelamat dua beranak yang dihanyutkan arus deras di Kampung Tanjung Kanan di sini berdepan kesukaran disebabkan kawasan pencarian yang dipenuhi pokok getah, kelapa sawit dan buah-buahan.

Ketua Polis Daerah Padang Terap DSP Mulkiaman Manzar berkata selain itu keadaan arus air di kawasan pencarian masih deras, walaupun banjir sudah sedikit surut ketika ini.

“Air agak laju dan pencarian tertumpu di kawasan tidak jauh dari lokasi mangsa mula-mula dilihat, sebab disyaki mungkin mangsa dihanyutkan ke kawasan itu...radius kawasan pencarian ialah 200 meter dari kawasan mangsa dihanyutkan.

“Ada orang nampak mangsa hanyut dan cuba nak selamatkan tapi tak sempat dan saksi yang melihat itu terus telefon kepada pihak polis pagi tadi,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di sini, hari ini.

Menurutnya, operasi mencari dan menyelamat yang bermula kira-kira 8.30 pagi tadi melibatkan 55 anggota polis, bomba dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta 10 bot penyelamat.

Mulkiaman berkata setakat ini belum ada petunjuk mengenai kedudukan kedua-dua mangsa dan pihaknya tidak menolak kemungkinan untuk mendapatkan bantuan tambahan daripada bomba atau APM bagi operasi tersebut.

Beliau berkata banjir kilat di kawasan itu berlaku disebabkan limpahan Sungai Padang Terap ekoran hujan lebat selama beberapa jam malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira 8 pagi tadi dua beranak Salmah Mat Zain, 46, dan anaknya, Muhammad Rosman Rohadi, 19, dilaporkan dihanyutkan arus deras banjir ketika cuba menyeberang untuk pulang ke rumah mereka di Kampung Tanjung Kiri.