SEREMBAN: Kementerian Dalam Negeri (KDN) melupuskan 5.8 tan metrik atau 27,035 unit alatan mainan seks bernilai RM1.3 juta hasil rampasan di beberapa premis di Pulau Pinang, Selangor dan Kuala Lumpur, sepanjang tahun ini.

Setiausaha Bahagian Penguatkuasaan dan Kawalan KDN Nik Yusaimi Yussof berkata proses sitaan diputuskan melalui perintah mahkamah untuk dilucuthak dan dilupuskan di bawah Seksyen 19(1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan (AMCP) 1984.

“Kaedah pelupusan adalah dengan memusnahkan alatan jenis silikon, plastik dan sebagainya hingga tidak berbentuk seperti asal dan tidak boleh berfungsi. Kebanyakan alatan berkenaan dari China, Thailand dan beberapa negara Asia lain yang dijual pada harga RM50 hingga RM800.

“Kesemua barangan itu adalah sebahagian daripada rampasan di stor, gudang dan premis perniagaan. Terdapat sebilangan lagi masih dalam proses tindakan mahkamah,“ katanya pada sidang media di sini hari ini.

Nik Yusaimi berkata KDN menjalin kerjasama rapat dengan operator platform e-dagang bagi membendung penjualan alat mainan seks secara meluas secara dalam talian termasuk pertukaran carian melalui kata kunci bagi menyukarkan pembeli untuk mencari alat mainan seks dengan mudah.

“Bagaimanapun, penjual alatan tidak bermoral itu tetap menggunakan pelbagai helah supaya produk mereka tidak disekat dan terus diiklankan bagi menarik pembeli,“ katanya.

Beliau berkata pihaknya akan mengambil tindakan tegas secara berterusan terhadap mana-mana pihak yang terlibat dengan kesalahan mencetak, mengimport, menghasilkan, menerbit, menjual atau mengedar hasil penerbitan larangan yang boleh memudaratkan moral serta ketenteraman awam.

Dalam pada itu, beliau berkata KDN sentiasa melakukan penguatkuasaan di seluruh negara dalam membenteras aktiviti penerbitan tidak diingini di bawah AMCP 1984 kerana memudaratkan moral dan berlawanan dengan sosiobudaya masyarakat di negara ini.

Open Two Websites with Image

Clickable Image