JOHOR BAHRU: Polis sedang menunggu hasil siasatan forensik Jabatan Bomba dan Penyelamat berhubung punca kebakaran yang mengakibatkan 26 motosikal musnah di kawasan tempat letak kereta di kilang Malaysia Marine & Heavy Engineering (MMHE) di jalan Pekeliling di Pasir Gudang awal pagi ini.

Ketua Polis Daerah Seri Alam Supt Mohd Sohaimi Ishak berkata siasatan oleh pihak polis akan dijalankan bagi mengenal pasti jika terdapat sebarang perbuatan khianat atau kebakaran secara tidak sengaja (accidental fire).

“Pihak polis mengesahkan telah menerima satu laporan kejadian kebakaran di kawasan tersebut lebih kurang 9.30 pagi.

“Siasatan awal di tempat kejadian mendapati kebakaran membabitkan 26 motorsikal milik pekerja kilang tersebut, dan ia berjaya dipadamkan dengan bantuan bomba Pasir Gudang kira-kira pukul 10.30 pagi. Kejadian tidak mengakibatkan sebarang kemalangan nyawa,” katanya dalam kenyataan.