PUTRAJAYA: Dapatan awal kajian ke atas keberkesanan pengurusan dan rawatan pesakit kanser di Institut Kanser Negara (IKN) mendapati 93 hingga 95 peratus pesakit kanser payudara yang dirawat di institusi itu mempunyai peluang hidup melangkau tiga tahun berbanding 86 hingga 91 peratus 10 tahun lepas.

Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa berkata kajian berkenaan, yang dilakukan baru-baru ini turut menunjukkan bahawa 56 peratus pesakit kanser paru-paru pula mempunyai peluang hidup melangkaui tiga tahun berbanding hanya 23 peratus pada 10 tahun lepas.

Beliau berkata pengesanan awal kanser paru-paru adalah projek kerjasama antara IKN dan Astra Zeneca menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI), yang berpotensi membolehkan rawatan diberikan pada tahap lebih awal demi peluang kesembuhan dan kelangsungan hidup yang lebih baik.

Berucap pada Majlis Makan Malam Amal IKN di sini hari inii, katanya Kementerian Kesihatan (KKM) optimis untuk melihat IKN mempelopori perkembangan kesihatan sejagat setanding dengan negara maju untuk membangunkan teknologi seperti ‘Genomic Medicine’ dan ‘Precision Medicine’ dalam rawatan kanser di Malaysia pada masa hadapan.

“Untuk tujuan ini, kerjasama dengan badan-badan yang mempunyai keupayaan dan kepakaran di dalam mewujudkan ‘biobank’ adalah penting bagi membolehkan pesakit mendapat manfaat daripada pengaplikasian kajian molekular dan genetik,” katanya.

Majlis makan malam amal yang diadakan sempena sambutan ulang tahun ke-10 IKN dengan tujuan mengumpul dana untuk membantu pesakit kanser itu turut dihadiri oleh isteri Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Dr Wan Azizah dalam ucapannya berkata umum mengetahui kos rawatan dan penjagaan pesakit kanser amat tinggi, di samping mengambil jangka masa yang panjang, dan kesan penyakit kanser sedikit sebanyak menjejaskan pendapatan isi rumah.

Beliau berkata penganjuran majlis makan malam itu bukan sahaja untuk meraikan ulang tahun IKN, malah sebagai medium untuk menjana dana bagi membantu pesakit di IKN.

“Saya difahamkan bahawa anggaran RM1 juta diperlukan bagi membantu pesakit kanser yang kurang berkemampuan bagi 2024 dan semua kutipan ini akan dimasukkan ke Tabung Kebajikan Perubatan Malaysia (TKPM),” katanya.

IKN hari ini turut menerima sumbangan dana bernilai RM120,000 daripada tiga entiti iaitu daripada TKPM, Persatuan Pendidikan Perubatan IKN dan Ambang Wira Sdn Bhd.–Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image