SHAH ALAM: Pencemaran bau yang dikesan di beberapa sungai di Selangor sejak semalam berpunca daripada premis kilang dipercayai memproses bahan akrilik untuk dikitar semula, kata Exco Kesihatan Awam dan Alam Sekitar Selangor Jamaliah Jamaludin

Beliau berkata semakan Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) bersama pihak berkaitan mendapati terdapat aliran efluen daripada kebocoran tangki menyebabkan dipercayai sejenis bahan terjadual Poly Methacrylic Acid (PMAA) melimpah mengalir ke longkang dan parit hingga ke Sungai Kuang.

“Tumpahan bahan itu juga memasuki sungai berdekatan dengan bacaan tiga ton telah dikesan oleh pasukan statik LUAS di Sungai Kundang pada 1.30 pagi tadi dan di Sungai Sembah pada 4.30 pagi.

“LUAS telah mengarahkan premis itu menghentikan pelepasan dan melaksanakan kerja-kerja pembersihan serta-merta kerana kecuaian tersebut memberi risiko kepada loji rawatan air (LRA) terhampir iaitu LRA Rantau Panjang pada jarak 29.61 kilometer (km) dan SSP1, SSP2 serta SSP3 pada jarak 34.02 km,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Jamaliah berkata LUAS kini sedang giat melaksanakan langkah mitigasi di sungai terlibat dengan meningkatkan perletakkan karbon diaktifkan (AC) bagi tujuan nyah bau, kerja-kerja pencairan dan pengepaman air untuk mempercepatkan aliran bahan tercemar melepasi kawasan muka sauk loji.

Berikutan insiden itu, beliau berkata LUAS membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 79(1) Enakmen LUAS 1999 selain pihak yang terlibat turut berdepan dengan tindakan penguatkuasaan daripada Jabatan Alam Sekitar dan Majlis Perbandaran Selayang.

“Kerajaan Selangor dan LUAS tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang mencemarkan sumber air dan tindakan tegas akan diambil selaras peruntukkan Enakmen LUAS 1999,” katanya.

Terdahulu, Air Selangor dalam kenyataan memaklumkan tujuh kawasan di Lembah Klang iaitu Petaling, Klang, Shah Alam, Gombak, Kuala Lumpur, Hulu Selangor dan Kuala Selangor akan mengalami gangguan air tidak berjadual ekoran empat LRA dihenti tugas sementara berikutan pencemaran bau.